Translate

Wednesday, January 3, 2018

Pemandu lori dan isteri cedera, lori masuk gaung

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN - Seorang pemandu lori dan isterinya menghadapi detik cemas terperangkap selama lebih empat jam di dalam sebuah lori yang terbalik selepas terjatuh ke dalam gaung berhampiran sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Mak Lagam di sini hari ini.

Pemandu lori, Abd. Rahman Che Ruas, 56, cedera parah di bahagian kaki manakala isterinya, Norazah Lahan, 54, mengalami kecederaan ringan akibat kemalangan yang berlaku pada pukul 2.13 petang tersebut.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Azmi Ab. Rahim berkata, sewaktu kejadian, pasangan suami isteri itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Felda Bukit Sagu, Kuantan, Pahang.

"Sebelum kejadian, mereka telah menghantar barangan di sebuah kedai di Chukai di sini.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, lori muatan tujuh tan yang kosong dipandu Abd. Rahman tiba-tiba hilang kawalan di sebuah selekoh tajam sebelum terjunam ke dalam gaung yang sedalam kira-kira empat meter," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Azmi berkata, usaha untuk menyelamatkan kedua-dua mangsa pada mulanya agak sukar kerana sebahagian besar kepala lori itu sudah tenggelam ke dalam parit yang terletak di bawah gaung terbabit.
Menurut beliau, Norazah yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan hanya mengalami kecederaan ringan dan berjaya dikeluarkan kira-kira 17 minit selepas kejadian berlaku.

"Begitupun usaha untuk mengeluarkan pemandu lori agak sukar kerana tebing curam dan sebahagian tubuhnya sudah termasuk ke dalam parit.

"Dia yang cedera parah hanya berjaya dikeluarkan pada pukul 7 petang sebelum dikejarkan di Unit Kecemasan Hospital Kemaman di sini untuk menerima rawatan," katanya.

Azmi berkata, keadaan Abdul Rahman kini dilaporkan stabil manakala isteri mangsa yang cedera ringan menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama.

Beliau berkata, anggota bomba juga terpaksa menggunakan kemudahan jentolak untuk menarik lori yang terjatuh di dalam gaung terbabit. - K! ONLINE 

No comments:

Post a Comment