Translate

Tuesday, January 16, 2018

Bapa maut selamatkan anak

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pengorbanan seorang bapa menyelamatkan anak bongsunya dari rumah mereka yang terbakar ber­akhir dengan tragedi selepas dia meninggal dunia dipercayai akibat sesak nafas di Kampung Kuala Ibai di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 8.45 pagi itu, Ahmad Fakhrurazi Shafie, 45, yang juga Timbalan Ketua UMNO cawangan Kuala Ibai tiba-tiba rebah di pekarangan rumah selepas menyelamatkan diri sambil memimpin tangan anak lelakinya, Muhammad Aqil Harith, 3.

Anak saudara mangsa, Ahmad Syahir Azizi Ahmad Zulfar, 18, berkata, ketika kejadian, dia yang membantu Ahmad Fakhrurazi mengusahakan perniagaan produk nasi Arab segera baru tiba ke rumah dua tingkat itu untuk memulakan pekerjaannya.

“Saya bergegas selepas terdengar bunyi letupan dan asap tebal keluar dari arah rumah Allahyarham. Sebaik tiba di pekara­ngan rumah, saya nampak beliau terbaring dalam kea­daan sangat lemah dan mukanya kelihatan pucat.

“Dia tidak memberi respons apabila dikejutkan. Saya segera menarik badannya agar berada jauh dari rumahnya yang sedang terbakar. Saya kemudian berlari ke rumah nenek untuk meminta bantuan,” ceritanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian di Kampung Kuala Ibai di sini semalam.
Jarak rumah Ahmad Fakhrurazi yang merupakan seorang peniaga dengan kediaman ibunya, Datin Tengku Maznah Tengku Sulung, 73, tidak sampai 10 meter.

Sementara itu, Tengku Maznah berkata, sewaktu kejadian, Ahmad Fakhrurazi yang juga anak ketujuh daripada lapan beradik hanya tinggal bersama Muhammad Aqil Harith di rumah tersebut.

Katanya, isteri Allahyarham, Tengku Mastura Ahmad, 39, yang hamil empat bulan telah keluar bekerja manakala tiga daripada anak mereka yang berusia dalam lingkungan tujuh hingga 14 tahun berada di sekolah masing-masing.

Tengku Maznah memberi­tahu, jenazah anaknya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gong Pauh di sini.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Azlimin Mat Noor memberitahu, dua jentera bomba dengan kekuatan 18 anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat pada pukul 8.55 pagi dan api berjaya dikawal pada pukul 9.15 pagi.

“Kita tidak menolak kemungkinan mangsa meninggal dunia kerana terhidu asap tebal. Punca kebakaran sedang disiasat manakala jumlah kerugian sedang ditaksir,” katanya.

No comments:

Post a Comment