Translate

Tuesday, January 9, 2018

Juruteknik Petronas disyaki terima rasuah direman

KEMAMAN – Seorang juruteknik mekanikal sebuah syarikat cari gali minyak dan gas, Petronas ditahan reman selama tujuh hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan kes meminta sogokan kepada subkontraktor kelmarin.

Perintah reman itu dikeluarkan Hakim Badrul Munir Mohd. Hamdi di Mahkamah Majistret di sini semalam.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, suspek yang berusia 49 tahun ditahan pada pukul 6 petang kelmarin.

Katanya, lelaki tersebut dipercayai meminta rasuah sebanyak RM5,000 daripada seorang subkontraktor yang melaksanakan kerja-kerja membuka dan memasang perancah di Terminal Eksport Gas Petronas di Teluk Kalong di sini.

“Sogokan itu dipercayai sebagai dorongan kepada suspek untuk mengesahkan kerja-kerja terbabit yang dilakukan subkontraktor berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

No comments:

Post a Comment