Translate

Thursday, January 11, 2018

Budak terperangkap dalam bah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN – Seorang budak lelaki berumur tujuh tahun yang terperangkap bersendirian di dalam rumah ditenggelami air banjir cemas sebelum diselamatkan anggota penyelamat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Kampung Bukit Mentok di sini semalam.

Muhammad Alfielail Rayyan Ismail, 7, diselamatkan setelah ibunya, Rozita Mohamad,52, yang bekerja sewaktu kejadian meminta bantuan anggota penyelamat itu pukul 12.30 tengah malam.

Rozita berkata, Muhammad Alfielail Rayyan ditinggalkan bersama kakak­nya, Nur Nadiatul Amalina, 23, sewaktu dia keluar bekerja sebagai pegawai keselamatan di sebuah institusi pengajian tinggi awam di Kijal di sini pada pukul 3 petang kelmarin.

“Waktu itu rumah saya masih belum dimasuki air bah namun saya dimaklumkan anak-anak saya keadaan bah semakin buruk selepas itu.

“Anak perempuan saya (Nur Nadiatul Amalina) terpaksa meninggalkan adiknya (Muhammad Alfielail Rayyan) bersendirian di rumah untuk me­minta bantuan selama hampir setengah jam,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Rozita berkata, dia yang bimbang telah bergegas pulang ke rumah selepas permohonannya untuk pulang awal dibenarkan majikannya.

Begitupun, dia dan Nur Nadiatul Amalina gagal memasuki rumah mereka untuk menyelamatkan Muhammad Alfielail Rayyan setelah semua laluan di taman perumahan terpaksa ditutup kerana dinaiki air banjir.

“Kami yang panik meminta bantuan anggota penyelamat di pusat pemin­dahan Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok di sini.

“Alhamdulillah anak lelaki saya kemudiannya dapat dikeluarkan dari rumah kami oleh anggota penyelamat dengan menaiki sampan,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment