Translate

Saturday, January 13, 2018

Bekas polis, isteri didakwa tawar skim pelaburan palsu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN – Seorang bekas pegawai polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan menipu seorang peniaga sebanyak RM140,000 dalam skim pelaburan tidak wujud pada dua tahun lalu.

Mohd. Salam Zainal Abidin, 31, yang bertugas sebagai pegawai penyiasat berpangkat Inspektor di Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini sewaktu kejadian membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd. Hamdi.

Isteri tertuduh pertama, Nurul Shahila Saayan, 28, yang merupakan suri rumah turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dalam pendakwaan penipuan tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Salam yang kini bekerja sebagai penolong pegawai keselamatan sebuah syarikat penerbangan tempatan didakwa memperdaya seorang lelaki ber­usia 50 tahun melalui Zamri Ismail untuk menyerahkan wang tunai RM140,000 bagi dilaburkan dalam skim pelaburan permodalan hartanah yang sebenarnya tidak wujud.

Mangsa dikatakan terdorong untuk menyerahkan wang berkenaan setelah diperdaya kedua-dua tertuduh kononnya boleh mendapat keuntungan daripada skim pelaburan palsu tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad cawangan Kemaman di sini pada pukul 11.48 pagi, 25 Mei 2016.
Nurul Shahila pula didakwa bersubahat menipu mang­sa sama melibatkan amaun, lokasi dan masa sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Badrul Munir membenarkan Mohd. Salam dan Nurul Shahila masing-masing dibebaskan dengan wang jaminan RM10,000 dan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Nurul Shahila membayar wang jaminan manakala Mohd. Salam pula gagal melunaskannya dan ditahan di dalam lokap Penjara Marang.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadli Mahmud sementara kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Mohd. Nasir
Yusof dan Mohd. Fauzi Abdul Samad. Kes disebut semula pada 29 Januari depan.

No comments:

Post a Comment