Translate

Friday, January 12, 2018

Struktur bangunan sekolah berjumlah RM380,000 musnah dalam banjir

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Jabatan Pendidikan Terengganu menganggarkan mengalami kerugian kira-kira RM380,000 akibat kerosakan struktur bangunan sekolah-sekolah di negeri ini sepanjang musim tengkujuh termasuk gelombang ketiga banjir yang sedang berlaku kini.

Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin berkata, setakat ini, pihaknya mengenalpasti kerosakan akibat banjir itu hanya melibatkan bahagian bumbung, siling dan pagar sekolah terlibat.

"Tiada perabot dan peralatan elektronik yang ditempatkan di sekolah di negeri ini yang mengalami kerosakan akibat musim tengkujuh yang bermula pada bulan November lalu.

"Kita telah membuat persiapan awal bagi meminimumkan kerugian. Kebanyakan bumbung, siling dan pagar sekolah yang musnah tersebut disebabkan angin kencang yang melanda beberapa kawasan di negeri ini terutama Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu pada permulaan musim tengkujuh baru-baru ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau ditemui selepas menghadiri majlis Malam Gala Transformasi Terengganu Baharu (TTB) Kemenjadian Murid yang dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman di Taman Tamadun Islam di sini.


Sementara itu, Malam Gala TTB Kemenjadian Murid yang julung kali dianjurkan menobatkan Sekolah Kebangsaan Sungai Lerek dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Nenas yang kedua-dua terletak di Setius sebagai sekolah terbaik kategori rendah dan menengah. - K! ONLINE 

No comments:

Post a Comment