Translate

Monday, January 15, 2018

THT belasah TNB Thunderbolt 6-2

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Pasukan Hoki Terengganu (THT) terpesta gol selepas membelasah TNB Thunderbolts 6-2 di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu sebentar tadi.

Pakar flick dunia dari Argentina, Gonzalo Peillat membuktikan kewibawaannya selepas meledak hatrik pada aksi kedua Liga Hoki Malaysia tersebut.

Terdahulu, TNB Thunderbolts mencemaskan tuan rumah apabila mendahului menerusi gol padang oleh pemain remaja berbakat, Arif Sabron pada minit keenam.

Tersentak dengan gol tersebut, THT memperkemas permainan sebelum berjaya menyamakan kedudukan menerusi Peillat pada minit ke-17 sebelum Muhammad Sufi Ismat Rohulamin meletakkan tuan rumah di hadapan pada tiga minit kemudian.

Peillat meledak gol ketiga buat THT apabila mudah menyempurnakan pukulan penalti pada minit ke-41.

Tuan rumah terus garang meledak gol keempat menerusi jaringan padang Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran yang refleks kepada pemain TNB Thunderbolts pada minit ke-43.

Pasukan pelawat merapatkan kedudukan 2-4 selepas Muhammad Azammi Adabi berjaya menyempurnakan penalti pada minit ke-51.

Gol tersebut tidak merencatkan nafsu THT untuk memperolehi jaringan kelima menerusi gol padang pemain import, Joaqin Menini pada lima minit kemudian.


Peillat kemudiannya meledak gol ketiga peribadi dan keenam bagi naib juara liga musim lalu tersebut pada minit terakhir perlawanan. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment