Translate

Tuesday, January 30, 2018

Kapal tangki MT Aliya Sari ditahan APMM lagi

KUALA TERENGGANU – Sebuah kapal tangki yang sarat dengan muatan 240,000 liter diesel bernilai RM500,000 ditahan Ma­ritim Malaysia (APMM) kerana disyaki terlibat dalam aktiviti urus niaga minyak tanpa permit di perairan Kuala Terengganu di sini kelmarin.

Sewaktu ditahan pada pukul 9.30 pagi, kapal tangki mendaftar di Pelabuhan Klang, Selangor de­ngan nama MT Aliya Sari terbabit sedang bersauh di hadapan Jeti Marina Pulau Duyong di sini.

Timbalan Pengarah Operasi Wilayah Maritim Timur, Kapten Maritim V. Pannir berkata, semasa pemeriksaan dilakukan, lima kru warga Bangladesh berusia 30 hingga 50 tahun bertugas di atas kapal tangki itu.

“Mengikut dokumen diserahkan kru, kapal tangki tersebut dalam perjalanan menghantar diesel berkualiti premium  ke Pulau Redang dari Pelabuhan Kuantan, Pahang.

“Bagaimanapun, urus niaga itu mencetuskan keraguan apabila mereka gagal mengemukakan dokumen asal pengesahan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK),” kata beliau kepada pemberita di sini semalam.

Pannir berkata, empat daripada lima kru lelaki warga Bangladesh tersebut juga gagal menunjukkan dokumen perjalanan asal mereka kecuali salinan pasport masing-masing.

Menurut beliau, pemilik asal kapal tangki MT Aliya Sari telah diarahkan untuk mengemukakan kesemua dokumen asal dikehendaki kepada APMM pada masa terdekat bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

Katanya, pada tahun 2016, kapal tangki sama pernah ditahan dan pemiliknya telah didenda RM12,000 selepas membuat pe­ngakuan bersalah atas pertuduhan melabuhkan kapal di lokasi tidak sah dan tidak melaporkan ketibaan pelepasan kepada JKDM.

No comments:

Post a Comment