Translate

Thursday, January 18, 2018

Samiun dilantik Datuk Bandar Kuala Terengganu baharu

KUALA TERENGGANU – Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Samiun Salleh, 56, dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Terengganu baharu berkuat kuasa hari ini.

Beliau yang merupakan Datuk Bandar Terengganu kelima menggantikan Mohd. Zulkifli Abu Bakar yang bersara wajib mulai semalam.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, dua pegawai kanan agensi kerajaan negeri yang turut menamatkan perkhidmatan ialah Pengarah Tanah dan Galian negeri, Datuk Mohd. Akil Mat dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Datuk Mohd. Yasim Awang.

“Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Islam Terengganu, Datuk Wan Mohd. Wan Ibrahim dilantik sebagai Pengarah Tanah dan Galian negeri yang baharu manakala kekosongan Pegawai Daerah Kuala Terengganu pula di isi oleh Azmi Razik yang sebelum ini merupakan Pegawai Daerah Hulu Terengganu.

“Kesemua pertukaran pegawai tadbir ini melibatkan 44 orang. Saya berharap ia akan melicinkan lagi pentadbiran kerajaan negeri selaras dengan kehendak transformasi kerajaan,” katanya selepas menyaksikan majlis serah tugas pegawai kanan kerajaan negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini semalam.

Ahmad Razif memberitahu, posisi Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Islam Terengganu yang dikosongkan Wan Mohd. pula diisi Pegawai Daerah Besut, Wan Ismail Sahaimi Wan Omar.

Menurut beliau, bagi pertukaran pihak berkuasa tempatan pula, Osman Bakar dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun, Wan Mohd. Anuar Wan Endut (Majlis Daerah Hulu Terengganu), Zulkafeli Omar (Majlis Daerah Setiu) dan Anuar Awang (Majlis Daerah Marang).

“Pegawai Daerah Hulu Terengganu ialah Zainal Abidin Mohamed, Shahidan Embok (Pegawai Daerah Besut) dan Mat Azmi Arshad (Pegawai Daerah Marang),” katanya.

No comments:

Post a Comment