Translate

Tuesday, January 9, 2018

Terengganu kembali berjaga-jaga

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Meskipun banjir yang melanda di dua daerah di negeri ini pulih sepenuhnya kelmarin selepas semua pusat pemindahan ditutup, penduduk Terengganu nampaknya belum boleh menarik nafas lega.

Ini berikutan ramalan cuaca menjangkakan fenomena air pasang besar akan melanda semula perairan negeri ini esok.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia negeri, Che Adam A. Rahman berkata, fenomena yang akan meningkatkan paras air laut di perairan Terengganu tersebut bakal berlarutan hingga hari Ahad ini.

“Fenomena kenaikan paras air laut itu dijangka turut melanda kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan timur Johor.

“Kesemua perairan negeri tersebut termasuk Terengganu juga diramal akan dilanda angin kencang daripada Monsun Timur Laut bermula esok hingga Ahad ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Mengulas lanjut, Che Adam berkata, angin kencang diramal berkelajuan 40 hingga 50 kilo­meter sejam sekali menyebabkan paras ombak naik sehingga 3.5 meter.

Menurut beliau lagi, feno­mena air pasang besar dan angin kencang itu berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi dan sukan laut.
“Sehubungan itu, orang ramai termasuk nelayan tradisional tidak digalakkan untuk melakukan aktiviti di laut seperti menangkap ikan dan memancing sepanjang tempoh tersebut.

“Sekretariat Pengurusan Bencana Banjir Terengganu telah bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan,” katanya.

No comments:

Post a Comment