Oleh MOHD. AZLI ADLAN
PASUKAN Hoki Wanita Terengganu (TLHT) mengukuhkan cengkaman di persada liga selepas membelasah Penang Juniors 8-0 pada aksi keempat Liga Hoki Malaysia (Wanita) di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu semalam.
Kemenangan bergaya tersebut membolehkan juara bertahan itu mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengharungi empat perlawanan dengan mengumpul 10 mata hasil tiga kemenangan dan satu seri.
Tuan rumah membuka jaringan menerusi Nurfatin Nabila Mohamad yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit kelapan sebelum Tuan Nur Hidayah Tuan Ismail meledak dua gol menerusi jaringan padang dalam tempoh tiga minit iaitu minit ke-10 dan ke-13 sekali gus meletakkan TLHT selesa mendahului 3-0 pada suku pertama perlawanan.
Penjaga gol Penang Juniors, Siti Nur Aisyah Hamidi tewas kali keempat apabila gagal menahan pukulan kencang penyerang tuan rumah, Nur Aisyah Hashim yang menyumbat gol padang pada minit ke-30.
Pesta gol TLHT berterusan apabila empat gol lagi dijaringkan pada separuh masa kedua perlawanan masing-masing menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Zahratul Farnana Sofea Md. Roslan pada (m-35), Nurul Najah Farhani Abd. Rashid (m-54) dan Norazlin Sumantri yang menyumbang dua gol pada minit ke-55 dan ke-57.
Pengendali TLHT, Muhammad Harun Al-Rashid Samri berkata, beliau gembira menyaksikan lapan gol terhasil pada aksi semalam yang disumbangkan oleh enam pemain berbeza.
“Kita mempunyai ramai pemain yang mampu menjaringkan gol untuk pasukan dan tidak bergantung harap pada seorang bintang semata-mata. Kita juga berjaya mengelak daripada dibolosi dalam tiga perlawanan berturut-turut termasuk aksi hari ini (semalam).
“Ia merupakan perkembangan yang amat positif dalam usaha kita untuk mempertahankan kejuaraan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
No comments:
Post a Comment