Translate

Friday, January 5, 2018

Mangsa banjir meningkat

KUANTAN – Jumlah mangsa banjir di Pahang terus meningkat dengan 1,300 mangsa daripada 195 keluarga  ditempatkan di 15 pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah yang dilanda bencana itu setakat pukul 7 petang berbanding 445 orang merangkumi 130 keluarga pagi semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Pahang, Kolonel (PA) Zainal Yusof berkata, Rompin mencatatkan mangsa paling ramai dengan 389 orang melibatkan 104 keluarga yang ditempatkan di enam PPS.

Di daerah ini pula, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 288 orang merangkumi 91 keluarga berbanding 96 orang  daripada 35 keluarga pagi semalam dan mereka ditempatkan di tujuh PPS.

Sementara itu, Jalan Kuantan-Sungai Lembing turut terputus hubungan di beberapa tempat dan hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat manakala di Rompin empat batang jalan turut ditutup kepada semua jenis kenderaan berikutan dinaiki air sehingga satu meter.
Menurut laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my yang dikemas kini pada pukul 1.30 petang semalam, paras air Sungai Lembing di Kuala Tahan mencatat bacaan 68.15 meter, melebihi paras bahaya pada 68 meter.
Dalam pada itu, Pemangku Pengarah Pendidikan Pahang, Tajuddin Mohd Yunus berkata, sesi persekolahan 2018 bagi 11 buah sekolah di Pahang yang bermula hari ini terpaksa ditangguhkan berikutan  banjir.

Di Terengganu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, keseluruhan jumlah mangsa banjir Terengganu setakat pukul 6 petang semalam membabitkan bilangan 344 mangsa dari 114 keluarga.
Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata, dua sekolah yang ditutup iaitu SK Kampung Shukor, Dungun dan SK Padang Kubu di Kemaman.

Di Johor, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, setakat 4 petang ini, sejumlah 379 mangsa melibatkan 95 keluarga di Mersing dan Kota Tinggi kekal berada di sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akibat banjir.

Di Kelantan, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Muhammad Zahari Othman berkata, sesi persekolahan bagi lebih 800 pelajar dan lebih 50 orang guru di jajahan Kuala Krai dan Tanah Merah di sini terjejas selepas enam sekolah termasuk sebuah sekolah menengah di kawasan tersebut terpaksa ditutup berikutan dinaiki air semalam.
Di Sarawak, hujan lebat berterusan sejak kelmarin telah mengakibatkan  Sekolah Kebangsaan (SK) Uma Sambop di Belaga, SK Beliau Ahad dan SK Rh Essau di Subis ditutup.

Di Sabah, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Maimunah Suhaibul berkata, seramai 266 pelajar daripada dua buah sekolah terjejas akibat kejadian banjir di sekitar Telupid, Kota Kinabalu.

No comments:

Post a Comment