Translate

Thursday, January 18, 2018

MyBas Kuala Terengganu mula beroperasi April depan

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Perkhidmatan Bas Awam Sepadu Malaysia (MyBas) yang sebelum ini terdapat di Arau, Seremban dan Ipoh akan memulakan operasi di bandar raya ini bermula April depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, MyBas Kuala Terengganu merupakan bandar pertama di Pantai Timur yang menikmati perkhidmatan bas henti-henti kendalian Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tersebut meliputi jarak keseluruhan 235.9 kilometer (km).

Beliau berkata, lapan daripada 30 buah bas yang akan digunakan untuk perkhidmatan bas tersebut juga terdiri daripada bas elektrik iaitu yang pertama di negara ini dan ia meliputi tujuh laluan utama dan satu laluan pengantara di sekitar bandar raya ini, Kuala Nerus, Setiu dan Hulu Terengganu.

"Fasa pertama perkhidmatan MyBas Kuala Terengganu dijangka bermula dalam tempoh tiga bulan dari sekarang melibatkan laluan pusat bandar, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Jeti Merang, Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Marang, Universiti Teknologi Mara Cendering dan Bukit Payung.

"Laluan Kuala Berang, Kedai Buloh, Universiti UCSI dan Bukit Payung sejuh kira-kira 100 km yang merupakan fasa kedua dijangka dilancarkan pada Julai depan sementara fasa ketiga melibatkan laluan Kuala Terengganu ke Batu Rakit melalui Gong Badak disasar bermula tiga bulan selepas itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani kontrak pengendali perkhidmatan MyBas Kuala Terengganu antara Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd. Azharuddin dan Ketua Pegawai Operasi MARA Liner Sdn. Bhd., Zahrail Affenday Mohamed. Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd.
Rahman. - K! ONLINE


  

No comments:

Post a Comment