Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Seorang pengurus besar sebuah hotel terkenal di bandar raya ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM750 empat tahun lalu.
Tertuduh, Mazuki Hussin, 55, membuat pengakuan tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.
Berdasarkan pertuduhan, Mazuki didakwa mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu berhubung tuntutan perkhidmatan sewaan bas kepada pengurus jualan hotel itu pada 28 September 2014.
Tertuduh didakwa menuntut RM1,400 sedangkan caj sebenar yang dikenakan untuk perkhidmatan tersebut hanya RM650.
Perbuatan mengemukakan resit palsu bertarikh 27 September 2014 bagi niat untuk memperdaya pengurus akaun hotel terbabit berkenaan didakwa dilakukan Mazuki di pejabatnya.
Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum lima kali nilai tuntutan palsu atau RM10,000 jika sabit kesalahan.
Mohamad Haldar membenarkan Mazuki dibebaskan dengan wang jaminan RM7,000 dan seorang penjamin serta pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.
Tertuduh membayar wang jaminan tersebut. Mohamad Haldar turut menetapkan sebutan semula kes pada 21 Februari depan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh, manakala Mazuki diwakili peguam bela, Zul Basysyar.
No comments:
Post a Comment