Translate

Sunday, January 28, 2018

Pensyarah UIAM meninggal dunia ketika berwuduk

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Hajat seorang pensyarah Kulliyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk menziarah jenazah ibu saudaranya tidak kesampaian apabila ditemui meninggal dunia di dalam bilik air di Kampung Bukit Losong di sini kelmarin.

Prof. Madya Che Noraini Hashim, 57, berada di bilik air bagi mengambil wuduk sebagai persiapan untuk menunaikan solat jenazah ibu saudaranya.

Dia yang merupakan isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi bagaimanapun ditemui meninggal dunia dalam kea­daan jatuh terduduk pada pukul 3.45 petang iaitu kira-kira 15 minit selepas menerima panggilan berita kematian ibu saudara­nya, Rokiah Abdullah, 70.

Syed Azman ketika ditemui ber­kata, isterinya sering dijemput sebagai mo­derator dan penceramah dalam beberapa program keagamaan di stesen televisyen tempatan termasuk rancangan Tanyalah Ustazah di TV9.
Katanya, wanita itu baru tiba dari Kuala Lumpur dengan menaiki kapal terbang dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang pada pukul 9 pagi.

“Isteri mahu menziarah ibu saudaranya yang tenat akibat penyakit diabetes di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini semalam (kelmarin) sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 3.30 petang.

“Sebaik mendapat tahu berita kematian tersebut, isteri saya telah ke bilik air untuk memperbaharui wuduk sebelum dia pula ditemui meninggal dunia dalam keadaan terduduk tidak lama kemudian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Losong Panglima Perang di sini semalam.

Pasangan suami isteri itu mempunyai lima orang anak dengan dua daripada mereka kini sedang melanjutkan pengajian di Madinah dan Mesir.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Losong Pang­lima Perang di sini pada pukul 10.15 pagi semalam iaitu tidak jauh dari kubur ibu saudaranya yang dikebumikan selepas solat asar kelmarin.

No comments:

Post a Comment