Translate

Friday, January 26, 2018

TLHT belasah MSN Kedah 4-0



PASUKAN Hoki Wanita Terengganu (TLHT) mengukuhkan kedudukan dalam liga selepas membelasah Majlis Sukan Negeri (MSN) Kedah 4-0 pada aksi di Stadium Batu Burok, Kuala Terengganu semalam, lapor MOHD. AZLI ADLAN.

Ia merupakan kemenangan ke­dua berturut-turut juara bertahan tersebut selepas menewaskan Kuala Lumpur Wipers 4-0 dan hanya mencatat keputusan seri 1-1 dengan musuh ketat, Blue Warriors pada aksi sulung.

Pemain kebangsaan, Siti Rahmah Othman menjaringkan gol pertama buat TLHT menerusi pukulan sudut penalti pada minit ketujuh.

Jaringan tersebut berpunca daripada pukulan sudut penalti yang diambil Juliani Muhammad Din, namun cuba ditahan penjaga gol MSN Kedah, Nur Zurailia Izzati Roshlan sebelum terkena kayu hoki Siti Rahmah.

Tuan rumah menambah gol kedua menerusi pemain remaja, Nurul Najah Farhani Abd. Rashid melalui ja­ringan padang pada minit ke-47.
Juliani yang bermain di posisi pertahanan terus menambah luka MSN Kedah apabila meledak dua gol untuk TLHT menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-52 dan ke-55.

Pengendali tuan rumah, Muhammad Harun Al-Rashid Samri berkata, dia berpuas hati anak-anak buahnya terus mencatat kemena­ngan walaupun 80 peratus pemain yang diturunkan pada aksi tersebut merupakan skuad Sukan Malaysia (Sukma).

“Saya menurunkan ramai pemain Sukma pada aksi ini agar setara dengan pasukan lawan (MSN Kedah) yang turut diperkuat oleh pemain muda.

“Ternyata anak-anak buah saya dapat beraksi dengan baik dan ini bagus untuk pembangunan hoki negeri. Begitupun, sasaran kita mempertahankan kejuaraan liga tidak dipandang mudah,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

No comments:

Post a Comment