Translate

Wednesday, January 17, 2018

KLHC julang Piala Sumbangsih lima kali berturut-turut

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan KAMARIAH KHALIDI

KELAB Hoki Kuala Lumpur (KLHC) mempertahankan Piala Sumbangsih buat kali kelima berturut-turut selepas menewaskan musuh tradisi, Pasukan Hoki Terengganu (THT) 5-4 menerusi penentuan pukulan penalti di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu semalam.

Kejayaan gemilang KLHC tersebut mengecewakan THT pada aksi sama buat tiga tahun berturut-turut.

Piala Sumbangsih merupakan trofi yang masih gagal dijulang THT yang juga juara bertahan keseluruhan Liga Hoki Malaysia (MHL) dalam tempoh enam tahun penglibatan pasukan kendalian Sarjit Singh dalam saingan MHL.

Terdahulu, kedua-dua pasukan mencatat keputusan seri 2-2 pada 60 minit perlawanan.

Pakar flick Korea Selatan, Jang Jonghyun membuka jaringan buat KLHC menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-16.

Penjaga gol THT, Mohd. Hafizuddin Othman tewas buat kali kedua lapan minit kemudian menerusi gol padang Muhammad Hafizuddin Zaidi pada minit ke-24.

Tuan rumah berjaya mendekatkan jurang gol menerusi pukulan sudut penalti yang disumbangkan penyerang kebangsaan, Faizal Saari pada minit ke-44.

Pakar flick Argentina, Gonzalo Peillat pula menyamakan kedudukan buat THT menerusi penalti yang menewaskan penjaga gol berpengalaman, Roslan Jamaluddin pada minit ke-58.

Skuad KHLC kendalian Lim Chiow Chuan menjulang Piala Sumbangsih yang disampaikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman.

No comments:

Post a Comment