Translate

Tuesday, January 30, 2018

THT fokus misi rampas kejuaraan MHL 2018

Hoki Terengganu (THT) semakin ghairah memburu misi untuk merampas kembali kejuaraan liga selepas menewaskan Maybank pada aksi kelapan Liga Hoki Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu kelmarin, lapor MOHD. AZLI ADLAN.

Kemenangan tipis terhadap pasukan tercorot liga itu bukan sahaja mengekalkan rekod tanpa kalah, malah THT mendahului carta liga dengan kutipan 18 mata hasil lima kemenangan dan tiga seri.

Pengendali THT, Sarjit Singh­ berkata, persaingan dalam MHL yang tinggal dua aksi terakhir amat sengit de­ngan juara bertahan iaitu Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengekori rapat de­ngan perbezaan atara satu dan dua mata sahaja.

“Kita tiada pilihan selain memperoleh tiga mata (menang) apabila menentang TNB Thunderbolts dan KLHC pada lusa (esok) dan Jumaat ini. Walaupun kedua-dua aksi itu berlangsung di Kuala Lumpur, ia bukan isu besar kerana kita te­lah membuktikan sebelum ini mampu menang asalkan kekal fokus,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Mengulas aksi dengan Maybank kelmarin, Sarjit berkata, beliau tetap lega kerana sasaran untuk mengutip tiga mata pada perlawanan terbabit tercapai.

Katanya, Maybank telah memberi kesukaran kepada anak-anak buahnya dengan menerapkan taktik bertahan sepanjang 60 minit aksi berlangsung.

“Pemain Maybank berkubu di kawasan sendiri kebanyakan masa dan hanya menunggu kami melakukan kesilapan hingga mampu menghasilkan gol tunggal mereka pada minit ke-15.

“Kami pula gagal memanfaatkan enam pukulan sudut penalti pada separuh masa pertama tetapi (Ganzalo) Peillat berjaya menebus dengan menjaringkan dua gol penting selepas itu,” katanya.

Kemenangan berharga itu membolehkan THT yang merupakan naib juara musim lalu muncul satu-satu pasukan yang berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah setakat ini.

No comments:

Post a Comment