Translate

Thursday, January 25, 2018

Tersadai di laut bergelora 3 jam

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Tiga nelayan menghadapi saat cemas apabila bot fiber yang mereka dinaiki untuk menangkap ikan mengalami kerosakan enjin dalam keadaan laut bergelora kelmarin.

Kesemua mangsa yang berusia dalam lingkungan 25 hingga 40 tahun yang tersadai kira-kira tiga jam di tengah laut terselamat apabila menerima bantuan daripada sepasukan anggota Maritim Malaysia (APMM) pada pukul 9 malam.

Pengarah Maritim Daerah Terengganu, Kepten Maritim Rahim Ramli (gambar kecil) berkata, keadaan laut bergelora menyebabkan bot APMM berjaya menunda bot fiber dinaiki mangsa ke Jeti Pejabat Maritim Terengganu di sini pada pukul 4 pagi semalam.

“Sebelum itu, kami mendapat maklumat bot yang dinaiki tiga mangsa terbabit mengalami kerosakan enjin pada kedudukan kira-kira 14 batu nautika dari muara Sungai Terengganu di sini pada pukul 6.28 petang semalam (kelmarin).

“Sewaktu kejadian, keadaan laut amat bergelora dengan ketinggian ombak mencecah sehingga lima meter menyebabkan kesemua mangsa yang mempunyai pengalaman turun ke laut bertahun-tahun tidak dapat menahan muntah sementara menunggu bantuan tiba,”  katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Rahim berkata, berdasarkan keterangan mangsa, mereka ke laut untuk menangkap ikan pada pukul 6.30 pagi kelmarin sebelum enjin bot yang mereka naiki mengalami kerosakan di tengah laut pada pukul 6.28 petang.

Menurut beliau, mangsa bernasib baik kerana telefon bimbit salah seorang daripada mereka masih berfungsi bagi membolehkan ahli keluarga dihubungi bagi mendapatkan bantuan.

“APMM pada mulanya menghadapi kesukaran untuk melakukan misi menyelamat disebabkan keadaan laut bergelora akibat fenomena air pasang dan keadaan cuaca yang sangat gelap.

“Ketiga-tiga nelayan terbabit berada dalam keadaan sihat. APMM menasihat orang ramai termasuk nelayan tradisional menangguhkan dulu aktiviti untuk menangkap ikan atau memancing pada musim tengkujuh ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment