PASUKAN Hoki Terengganu (THT) kembali merampas takhta liga selepas menewaskan pendahulu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2-0 pada aksi ketujuh Liga Hoki Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu semalam, lapor MOHD. AZLI ADLAN.
Kemenangan bergaya itu membolehkan juara bertahan keseluruhan itu muncul satu-satunya pasukan yang mengekalkan rekod tanpa kalah dalam liga setelah mengutip 15 mata hasil empat kemenangan dan tiga seri.
TNB yang meraih 13 mata pula terpaksa menerima hakikat perlu melepaskan kedudukan teratas liga berikutan kekalahan kedua pasukan itu pada aksi semalam.
Pakar flick dunia dari Argentina, Gonzalo Peillat membuktikan kepakarannya dalam menyempurnakan pukulan sudut penalti apabila muncul wira dengan meledak dua gol pada minit ke-11 dan 26.
Terdahulu, TNB memperoleh peluang untuk memecah kebuntuan, namun percubaan kencang pemain kebangsaan, Firhan Ashaari berjaya ditepis penjaga gol THT, Muhammad Hafizuddin Othman pada minit keempat.
Pasukan pelawat yang dibarisi sepenuhnya oleh pemain tempatan turut mensia-siakan empat pukulan sudut penalti diperoleh pada minit ke-29, 35, 42 dan 47.
Sementara itu, ketua jurulatih THT, Sarjit Singh berkata, keputusan perlawanan ditentukan oleh kemampuan anak-anak buahnya memanfaatkan dua pukulan sudut penalti yang diperoleh pada aksi tersebut.
“Kedua-dua pukulan sudut penalti itu menghasilkan gol dan ia memang peranan yang digalas Peillat dalam THT.
“Walaupun kembali merampas takhta liga, bagi saya ia masih belum selamat. Kita perlu menyelesaikan dengan baik kesemua baki tiga perlawanan yang masih ada,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan semalam.
No comments:
Post a Comment