KUALA TERENGGANU – Penganjur perhimpunan motosikal Yamaha RXZ terbesar negara, RXZ Members 8.0 memutuskan untuk mengekalkan tarikh acara pada 31 Julai dan 1 Ogos depan biarpun bertembung dengan hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Penganjur RXZ Members, Mohamad Faizal Mat Ali berkata, keputusan itu diambil setelah mengambil kira banyak pertimbangan biarpun mengakui berat dilakukan.
“Kami mendengar setiap pandangan diberikan (peminat motosikal Yamaha RXZ) dan benar-benar memahami perasaan tersebut.
“Namun, setelah melalui perbincangan yang panjang dan meneliti semua pilihan yang ada, kami terpaksa mengekalkan tarikh RXZ Members 8.0 pada 31 Julai dan 1 Ogos depan,” katanya di media sosial kelmarin.
Terdahulu, sebahagian peminat Yamaha RXZ terutamanya dari Negeri Sembilan memohon tarikh RXZ Members 8.0 dipinda memandangkan ia bertindih dengan tarikh pengundian PRN negeri itu.
Dia berkata, pihaknya sedar pertindihan tersebut pasti mengecewakan penyokong RXZ Members khususnya dari Negeri Sembilan yang saban tahun memeriahkan perhimpunan berkenaan.
Katanya, ketiadaan golongan tersebut nanti demi menunaikan tanggungjawab terhadap negara sebagai pengundi amat dihormati.
“Jika anda tidak dapat hadir kerana menunaikan tanggungjawab, ketahuilah anda tetap sebahagian daripada keluarga besar RXZ Members.
“Tiada siapa akan dilupakan dan insya-Allah kita akan bertemu lagi pada perhimpunan akan datang,” katanya. Tegasnya, semangat RXZ Members bukan sekadar sebuah acara, malah ia nilai persaudaraan yang menyatukan semua peminat permotoran.

No comments:
Post a Comment