KUALA NERUS – Terengganu FC (TFC) membuka butik jenama rasmi kelab bola sepak tersebut, TFC Direct di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai berkata, TFC Direct menawarkan pelbagai produk rasmi dan eksklusif pasukan berkenaan seperti jersi, topi, mafla, baju-T dan pelbagai cenderamata lain.
“Pembukaan TFC Direct di lapangan terbang merupakan langkah strategik bagi meningkatkan lagi keterlihatan jenama kelab serta memudahkan penyokong mendapatkan produk rasmi.
“Lapangan terbang merupakan pintu masuk utama ke Terengganu yang memberi peluang kepada TFC mendekati peminat bola sepak dalam kalangan pelancong domestik dan antarabangsa,” katanya di LTSM.
Terdahulu beliau menghadiri majlis pembukaan rasmi TFC Direct yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim.
Sheikh Farouk berkata, pembukaan TFC Direct juga langkah kelab bola sepak berkenaan untuk mengembangkan lagi nilai komersialnya.
Jelasnya, TFC berhasrat memperluaskan jangkauan komersial kelab selain mengukuhkan lagi hubungan dengan penyokong domestik mahupun antarabangsa menerusi butik terbabit.
“Harapan kita TFC Direct dapat menyumbang kepada penjanaan pendapatan kelab.
“Selain beroperasi secara fizikal di LTSM setiap hari, TFC Direct juga menawarkan perkhidmatan pembelian secara dalam talian,” katanya.

No comments:
Post a Comment