Translate

Saturday, December 27, 2025

1,000 kunjungi rumah arwah Nurly

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Bapa kepada Nurly Shahirah Azman, 23, yang merupakan salah seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas di Gerik, Perak baru-baru ini berkata, rumahnya dikunjungi oleh 1,000 pengunjung sehari dengan kebanyakannya mahu melihat sendiri naskhah al-Quran tulisan tangan arwah anaknya.

 Azman Mohamad, 63, berkata, tetamu hadir bermula selepas subuh hingga hampir maghrib tanpa putus setiap hari. 

“Alhamdulillah, bagi saya mereka dari seluruh negara yang didorong Allah untuk menziarahi ini memulihkan semangat dan membawa rezeki kepada kami sekeluarga," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Pasir di sini semalam.

Dalam pada itu , di laman sosial tular satu video dimuat naik seorang pengguna TikTok, Iqwan Hakimi menunjukkan kunjungan orang ramai dari seluruh negara yang datang di rumah dan kubur Allahyarham Nurly Shahirah semalam dan kelmarin.

Pada video tersebut, ada daripada mereka yang datang menaiki bas secara berkumpulan dan kereta, malah ada juga menaiki motosikal secara konvoi.

"Hari ini Kampung Gong Pasir didatangi tiga bas serta warga-warga dari luar negeri dengan pelbagai kenderaan. Masya-Allah, Allahuakbar," katanya pada kapsyen salah satu video.

Ia mendapat pelbagai maklum balas daripada orang ramai yang terharu dengan kedatangan tetamu ke rumah arwah yang juga hafizah 30 juzuk al-Quran.

Sementara itu, Azman memaklumkan, dia mendapat banyak permintaan daripada pengurusan institusi pengajian tinggi (IPT) seperti UPSI dan beberapa pusat tahfiz untuk memiliki naskhah al-Quran tulisan tangan arwah Nurly.

"Naskhah asal itu tidak dapatlah saya beri kerana ia peninggalan berharga arwah kepada keluarga kami. Begitupun saya berhasrat untuk membuat cetakan bagi menunaikan hasrat tersebut," katanya.

Azman berkata, beberapa alim ulama yang mengunjungi rumahnya sejak dua minggu lalu memberitahu naskhah al-Quran tulisan tangan Nurly antara terkemas pernah dilihat mereka.

Dia berkata, arwah Nurly yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik telah dibentuk menjadi hafizah sejak dalam kandungan.

"Sewaktu mengandungkan Nurly, isteri saya, Kamariah Latif, 60, sering membaca surah Maryam, Yusof dan Yunus. Alhamdulillah hati arwah anak saya terang, mudah menhafaz al-Quran sejak berumur enam tahun," katanya.

No comments:

Post a Comment