Oleh MOHD AZLI ADLAN
Aktiviti melihat anak bulan 1 Zulhijah baru-baru ini bagi penentuan tarikh Hari Raya Aidiladha pada 10 Zulhijjah merupakan sebahagian cabang ilmu falak yang menjadi kelaziman saban tahun.
Begitupun ilmu falak sebenarnya jauh lebih luas dan signifikan dalam kehidupan kita seharian.
Dalam wawancara bersama wartawan Kosmo! Ahad, MOHD. AZLI ADLAN dan jurugambar, PUQTRA HAIRRY ROSLI, Pengarah Institut Alam Sekitar Pantai Timur (Eseri) UniSZA, Prof. Madya Dr. Roslan Umar menjelaskan kepentingan ilmu falak dan komitmen Universiti Sultan Zainal Abidin memperkasa dan memberi kefahaman terhadap masyarakat.
KOSMO! AHAD: Rata-rata masyarakat mengaitkan ilmu falak dengan aktiviti melihat anak bulan bagi penentuan awal Ramadan serta Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Apakah sebenarnya ilmu tersebut?
ROSLAN: Di Malaysia, kita lebih terdedah dengan disiplin falak syarie iaitu berkaitan takwim atau kalendar tahun hijrah, penentuan arah kiblat dan waktu solat fardu.
Ia berkaitan kajian pergerakan matahari dan bulan yang menjadi asas penentuan jatuhnya 1 Ramadan, 1 Syawal dan 10 Zulhijrah yang merupakan tiga hari penting bagi umat Islam.
Begitupun ilmu falak atau astronomi sebenarnya lebih luas dan ia merupakan cabang kepada sains fizik.
Ia bidang astronomi mengkaji pergerakan dan kedudukan apa sahaja objek langit seperti bulan, planet, bintang, galaksi, dan nebula.
Selain penentuan tarikh-tarikh penting dalam takwim Islam, arah kiblat dan waktu solat fardu, apa signifikannya ilmu falak dalam kehidupan seharian rakyat biasa?
Pergerakan objek cakerawala terutama matahari dan bulan memberi kesan kepada bumi sekaligus kehidupan kita seharian.
Contohnya fenomena pasang surut air laut dan peralihan musim dan monsun. Pengetahuan ilmu falak memudahkan kita memahaminya.
Kemahiran ilmu falak sebenarnya tidak asing bagi masyarakat Melayu zaman dahulu.
Misalnya, masyarakat dahulu mengetahui kehadiran buruj Thuraiya yang terdiri daripada kumpulan tujuh bintang di langit itu permulaan tempoh Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh.
Pengetahuan terhadap pergerakan bulan pula membolehkan fenomena pasang surut air laut diramal bagi memudahkan aktiviti keluar masuk bot di muara dengan selamat.
Hasil laut seperti sotong dan ikan juga boleh ditangkap dalam kuantiti banyak berdasarkan kemahiran ilmu falak.
Bagi petani dan pesawah pula, pengetahuan ilmu falak membolehkan mereka mengetahui masa sesuai untuk memulakan proses menanam dan menuai hasil tanaman mereka.
Kerugian akibat tanaman rosak ditenggelami banjir dapat diminimumkam dengan kemahiran dalam ilmu falak terbabit.
Apakah hikmahnya kita mahir ilmu falak?
Ilmu falak penting membantu umat Islam dalam urusan ibadah seharian.
Kefahaman terhadap ilmu falak juga membolehkan kita lebih menghargai masa dan lebih teliti beribadah.
Penting untuk generasi hari ini kembali celik terhadap ilmu falak. Sekurangnya-kurangnya kita tidak mudah terperdaya dengan pelbagai maklumat palsu dan mengarut yang banyak bertebaran di media sosial.
Antara yang popular ialah kononnya bumi akan bergelap dan frekuensi telekomunikasi terganggu akibat ribut suria sehingga menimbul kegemparan.
Apa inisiatif diambil UNISZA bagi memperkasakan pengetahuan ilmu falak dalam kalangan masyarakat?
UniSZA telah memainkan peranan aktif dalam menyemai minat terhadap ilmu falak sejak tahun 1980-an lagi sewaktu institusi ini masih bertaraf kolej.
Disiplin Falak kian berkembang di universiti ini dan ia diletakkan di bawah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) bagi program ijazah sebagai subjek elektif. Bagi pengajian peringkat sarjana dan doktor falsafah mod penyelidikan diletakkan di bawah Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (Eseri).
Jalinan kerjasama peringkat antarabangsa termasuk dengan Universiti Kyushu, Jepun dalam pemerkasaan ilmu falak juga telah terjalin sejak tahun 2017.
UniSZA turut memainkan peranan aktif berkerjasama bersama kelab falak di sekolah-sekolah dan kelab astronomi di institusi pengajian tinggi sekitar Terengganu bagi menyemarak lagi minat dalam ilmu falak terutama dalam kalangan generasi muda.
Balai cerap telah dibina di Merang, Setiu pada 1995 dan ia merupakan salah satu daripada 29 lokasi rasmi cerapan hilal atau anak bulan di negara ini.
Kita membuka balai cerap itu untuk lawatan pelajar bagi menyemai minat dalam bidang ilmu falak.
Pembukaan balai cerap tersebut membolehkan universiti awam ini melahirkan pakar falak yang menganggotai Jawatankuasa Falak Negeri Terengganu dan Ahli Kesatuan Astronomi Antarabangsa (IAU).
Terbaharu, Eseri melalui Pusat Pemindahan Ilmu dan Pendidikan (P2P) juga menawarkan Sijil Profesional Falak sejak awal tahun ini.
Setakat ini lebih 30 peserta termasuk dari Brunei dan Singapura telah menyertai kursus jangka pendek selama lima bulan itu.
UniSZA berazam mahu menjadi bukan sahaja pusat pengajian falak tersohor negara malah aktif dalam kajian astronomi dan astrofizik termasuk kajian anak bulan, aktiviti matahari, cuaca angkasa, medan magnet bumi, dan pencemaran cahaya.
Kenapa Balai Cerap KUSZA terletak di Merang yang agak jauh dari kampus utamanya di Gong Badak, Kuala Nerus?
Merang yang menghadap Laut China Selatan amat strategik kerana terletak di persekitaran langit paling gelap di Semenanjung Malaysia selain kadar halangan ufuknya amat minimum.
Selain itu, kita boleh melihat matahari terbit dari arah timur dan terbenam selari dengan kedudukan laut pada tempoh tertentu dalam setahun.
Ia menjadikan Balai Cerap KUSZA bukan sahaja antara lokasi terbaik bagi aktiviti melihat hilal malah unik bagi aktiviti cerapan astronomi dan astro-pelancongan.
Balai cerap terbabit juga dilengkapi dengan peralatan cerapan seperti binokular serta teleskop optik dan teleskop radio. Selain itu juga terdapat stesen pengesan meteor dan stesen kaji cuaca di balai cerap berkenaan.
Apa nasihat kepada anak muda yang berminat menjadi ahli falak?
Seorang ahli falak perlu mempunyai minat mendalam, sabar menghadapi cabaran dan keadaan tidak menentu serta mempunyai ketelitian dalam membuat pemerhatian dan analisis.
Antara cabaran yang perlu dihadapi ahli falak ialah kesabaran bekerja pada waktu malam, kadang-kadang sehingga subuh.
Ia disebabkan objek langit yang cantik hanya boleh dilihat dalam gelap.
Faktor cuaca juga amat memainkan peranan kerana pemerhatian kita biasanya boleh terhalang oleh hujan atau awan tebal.
Ahli falak juga harus menyediakan diri untuk mahir menggunakan teknologi dan peralatan cerapan yang canggih dan sentiasa berubah mengikut peredaran masa.
Apakah laluan akademik bagi mereka yang berminat memilih kerjaya sebagai ahli falak?
Sebenarnya tiada pengkhususan ilmu falak ditawarkan dalam program sarjana muda di mana-mana institusi-institusi pengajian tinggi di negara ini.
Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang berminat dalam ilmu falak disaran melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda Syariah atau Fizik.
Mereka kemudiannya boleh mengambil pengkhususan ilmu falak atau astronomi pada peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).
Selain itu, ilmu falak juga boleh dipelajari secara kursus jangka pendek yang menawarkan sijil profesional. Sijil itu untuk penting untuk bergelar ahli falak bertauliah.

No comments:
Post a Comment