Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Terengganu mengekalkan pencapaian keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) terbaik kebangsaan untuk tempoh enam tahun berturut-turut apabila memperolehi Min Purata Nilai Gred Kumulatif 3.12 bagi peperiksaan 2024 yang diumum, hari ini.
Timbalan Pengarah Pendidikan Terengganu, Che Wan Zuraidi Che Wan Zaid berkata, Min PNGK 3.12 tersebut mengatasi peringkat kebangsaan iaitu 2.85.
“Seramai 110 calon memperolehi semua A Penuh dengan PNGK 4.0, manakala 162 calon pula mendapat semua A iaitu kombinasi A dan A-.
“Sebanyak 89.31 peratus atau 1,938 calon memperolehi Prinsipal dalam semua mata pelajaran diambil,” katanya ketika mengumumkan keputusan STPM peringkat Terengganu di Pejabat Pendidikan Negeri Terengganu di sini semalam.
Che Wan Zuraidi berkata, 34 daripada 46 sekolah yang mempunyai calon STPM di seluruh Terengganu berjaya mencapai Min PNGK 3.0 ke atas.
Jelas beliau, antara sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah Agama Maarif, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa, SMK Paka dan SMK Imtiaz Kemaman.
“Calon SMK Sultan Ahmad, Siti Asihah Othman muncul pelajar terbaik STPM 2024 peringkat kebangsaan,” katanya.
Di Alor Setar, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kedah, Fadil Long Mohamad berkata, jumlah calon STPM yang meraih keputusan cemerlang dengan PNGK 4.0 di Kedah meningkat kepada 98 orang atau 3.51 peratus.
"Bilangan calon yang mendapat PNGK 4.0 itu meningkat sebanyak 24 orang iaitu daripada 74 calon atau 2.6 peratus pada tahun 2023. Sukacita dimaklumkan bahawa PNGK negeri Kedah bagi STPM junga meningkat sebanyak 0.01 mata berbanding tahun lalu iaitu 2.88 pada 2023 kepada 2.89 pada 2024.
"PNGK negeri yang dicatatkan itu juga yang tertinggi sejak dilaksanakan peperiksaan STPM," katanya.
Di Kangar, Timbalan Pengarah Pendidikan (Perancangan) Perlis, Ahmad Sabri Mohamad berkata, Perlis mencipta rekod baharu apabila tiada calon gagal STPM selama lima tahn berturut-turut sejak 2020.
"Perlis terus mencatatkan kejayaan membanggakan apabila mencaai PNGK 2.87 meningkat 0.02 berbanding tahun sebelumny.
"Pencapaian cemerlang ini turut menyaksikan seramai 20 calon memperoleh PNGK 4.0 meningkat berbanding hanya 16 orang pada 2023.
"Alhamdulillah, ini membuktikan bahawa komitmen warga pendidikan negeri ini terus kukuh dalam usaha memperkasa pencapaian akademik pelajar," katanya.
Di Kota Bahru, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Kelantan (Sektor Pengurusan Sekolah), Mohd. Hassany Hashim berkata, keputusan STPM di Kelantan terus cemerlang apabila PNGK negeri itu memperoleh 3.0 berbanding nasional 2.85.
Menurutnya selain itu, 50 daripada 60 buah sekolah kerajaan di negeri itu memperolehi kelulusan 100 peratus bagi 2024 berbanding 47 sekolah untuk 2023.
No comments:
Post a Comment