Translate

Monday, December 22, 2025

Jambatan gantung jadi tarikan

KUALA TERENGGANU – Terengganu bakal mempunyai tarikan pelancongan terbaharu dengan pembukaan Jambatan Gantung Kampung Banggol Cempedak di sini. 

Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu, Datuk Abdul Kahar Abdul Latif berkata, jambatan gantung tersebut terletak di Dataran Banggol Cempedak yang merupakan salah satu produk pelancongan berasaskan komuniti terdapat di pinggir bandar raya ini. 

“Jambatan gantung yang dibina dengan kos RM890,888 tersebut dibina merentasi Sungai Terengganu sepanjang 70 meter. 

“Reka bentuk infrastruktur yang bebas banjir dan setinggi enam meter berkenaan diinspirasikan daripada Jambatan Angkat Kuala Terengganu,” katanya. 

Terdahulu beliau menyerahkan projek pembinaan Jambatan Gantung Kampung Banggol Cempedak itu kepada Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Azran Amin Mazlan. Abdul Kahar berkata, jambatan gantung tersebut merupakan salah satu komponen utama inisiatif Kampung Angkat Madani yang dikelola Unit Penyelarasan Pelaksaaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM). 

Beliau berkata, ICU JPM sebelum ini telah memperuntukkan RM2.5 juta bagi pembangunan Kampung Banggol Cempedak sebagai salah satu Kampung Angkat Madani agensi tersebut di Terengganu.

 “Jambatan gantung yang merupakan komponen utama produk pelancongan, Dataran Banggol Cempedak itu akan diuruskan sendiri penduduk kampung tersebut,” katanya. 

Sementara itu, Azran Amin berkata, jambatan gantung itu bakal merancakkan lagi kehadiran pelancong ke situ.

No comments:

Post a Comment