Translate

Saturday, December 20, 2025

Mana topi keledar?

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN, TOREK SULONG dan SITI NOR MAS ERAH AMRAN

PETALING JAYA – Ramai ibu bapa masih memandang ringan soal keselamatan jalan raya apabila sanggup mempertaruhkan nyawa anak-anak dengan tidak memakaikan topi keledar keti­ka menghantar dan membawa mereka pulang dari sekolah. 

Situasi membimbangkan itu menjadi rutin harian apabila kanak-kanak yang masih kecil membonceng motosikal tanpa ‘helmet’, meskipun kawasan di hadapan sekolah sesak dengan kenderaan pada waktu puncak. 

Antara alasan yang sering diberikan ialah sekolah terletak berdekatan rumah dan tidak melalui jalan utama ketika menghantar dan menjemput anak-anak, seolah-olah risiko kemalangan  boleh diukur mengikut jarak. 

Di Seberang Perai, tinjauan Kosmo! di luar sebuah sekolah kebangsaan di Seberang Jaya mendapati, sebahagian besar murid tidak memakai topi keledar ketika membonceng motosikal bersama ibu atau bapa mereka. 

Hanya ibu atau bapa yang dilihat memakai helmet. 

Seorang ibu yang enggan dikenali berkata, jarak rumah dengan sekolah yang terlalu dekat membuatkannya tidak mengenakan topi keledar kepada anaknya. 

“Insya-Allah tidak berlaku apa-apa, dekat saja, saya seorang pakai topi keledar sebab hendak ke tempat kerja terus,” katanya. 

Seorang pemandu kereta yang dikenali sebagai Khairi, 41, berkata, dalam keadaan jalan raya yang sesak, ada ibu bapa yang me nunggang motosikal secara melulu dan laju tanpa memikirkan keselamatan pembonceng di belakang. 

“Ibu bapa dilihat pakai topi keledar tapi tidak si anak, ini yang membimbangkan pengguna lain terutama pemandu kereta yang terpaksa lebih berhati-hati,” katanya. 

Di Kuala Terengganu, tinjauan di sebuah sekolah di bandar raya ini mendapati situasi sama juga berlaku. 

Seorang ibu yang dikenali sebagai Munirah, 30-an mendakwa, dia dan anaknya tidak memakai topi keledar kerana jarak rumahnya dengan sekolah anaknya terletak berdekatan sahaja. 

“Rumah saya dengan sekolah anak dekat sahaja, kurang 500 meter. Insya-Allah tidak berlaku apa-apa,” katanya. 

Begitupun seorang penduduk berhampiran, Abd. Halim Ghani, 50, pula kurang senang dengan sikap ambil mudah ibu bapa terbabit.

 “Malang tidak berbau, takkan kalau berlaku kemalangan baru hendak menyesal. Lagipun ia menunjukkan contoh yang tidak baik kepada anak-anak.

 “Kesannya ramai anak-anak di sekolah menengah kini mengikut jejak bermotosikal ke sekolah tanpa lesen dan bertopi keledar,” ujarnya. 

Di Bachok, tinjauan Kosmo! di beberapa buah sekolah pula mendapati, selain ibu bapa yang tidak memakaikan anak-anak topi keledar, terdapat juga pelajar yang ke sekolah dengan menunggang motosikal tanpa menggunakan helmet. 

Seorang pelajar sekolah menengah memberi alasan dia tidak memakai topi keledar kerana kerana jarak rumah mereka ke sekolah terlalu dekat sehingga meremehkan hal pemakaian topi keledar.

 “Ibu bapa saya okey sahaja saya tidak pakai helmet, rumah ke sekolah memang dekat sahaja,” katanya. 

Seorang penduduk di situ, Kamarudin Ismail, 44, berkata, tindakan tidak memakai topi keledar boleh mengundang padah sekiranya berlaku kemalangan jalan raya. 

“Ramai ibu bapa sendiri pakai topi keledar, tetapi anak di belakang dibiarkan tanpa perlindungan. Kalau terjatuh, kepala anak yang akan terhentak dahulu,” katanya ketika ditemui di luar sebuah sekolah.

No comments:

Post a Comment