Translate

Thursday, December 25, 2025

Guru rugi RM325,800 diperdaya ‘pegawai’ Pusat Respons Scam

 BESUT – Gara-gara terlalu takut dikenakan tindakan undangundang kerana kononnya terlibat dalam kes pengubahan wang haram, seorang guru kerugian RM325,800 akibat diperdaya sindiket penipuan atau scammer. 

Wanita berusia 44 tahun yang mengajar di sekolah rendah di daerah ini tersebut telah membuat laporan berhubung kes itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di sini kelmarin. 

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Md. Sani Md. Saleh berkata, pada mulanya, guru terbabit telah dihubungi suspek yang mendakwa kononnya pengawai di Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC). 

“Mangsa gelabah apabila didakwa kononnya dia akan ditangkap dan didakwa atas kesalahan pengubahan wang haram. 

“Dia kemudian mengikut arahan suspek agar memindahkan wang keseluruhan RM325,800 konon bagi mengelak daripada dikenakan tindakan perundangan,” katanya di sini semalam. 

Md. Sani berkata, transaksi tersebut dilakukan secara berperingkat ke dalam tiga akaun berasingan bermula 6 November lalu sehingga merasakan dirinya ditipu. 

Beliau berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment