Translate

Tuesday, December 30, 2025

Rugi hampir RM1 juta tertipu tender IPT

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga berputih mata selepas kerugian RM932,300 akibat diperdaya sindiket penipuan berhubung tender pembekalan alat jana kuasa solar kepada sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) yang tidak wujud. 

Lelaki berusia 52 tahun itu yang menyedari telah menjadi mangsa penipuan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, di sini pada pukul 11.53 malam kelmarin. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, pemilik syarikat pembinaan dan pembekalan itu telah dihubungi suspek yang mengaku kononnya wakil IPT milik kerajaan Terengganu tersebut menerusi aplikasi WhatsApp pada 28 Mei lalu. 

“Mangsa telah ditawarkan kononnya tender tertutup membekal dan menghantar alat jana kuasa mudah alih jenis eco flow kepada IPT berkenaan. 

“Dia yang berminat telah menghantar maklumat berhubung syarikatnya kepada suspek,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam. 

Azli berkata, peniaga terbabit kemudiannya mengikut arahan membuat pembayaran deposit ke dalam dua akaun bank diberi suspek. 

Beliau berkata, pembayaran tersebut dilakukan lelaki berkenaan menerusi lapan transaksi. 

“Selain wang syarikat, mangsa turut menggunakan simpanannya untuk projek tender terbabit.

 “Dia kemudiannya terkejut dan menyedari tertipu apabila semakan dengan pengurusan IPT yang terletak di Kemaman tersebut mendapati penawaran tender pembekalan itu sebenarnya tidak pernah wujud,” katanya. 

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment