DUNGUN – Jabatan Perikanan mengingatkan pemain industri pelancongan dan nelayan agar berhati-hati dan tidak melakukan aktiviti yang boleh mengancam nyawa penyu di perairan negara.
Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, di perairan Terengganu sahaja, sebanyak 94 ekor penyu telah ditemui mati sejak Januari tahun lalu.
“Saya seru komuniti nelayan dan mereka yang terlibat dalam bidang pelancongan agar berhati-hati agar tidak menyebabkan kematian dan kecederaan pada penyu.
“Kita sebenarnya tidak menggalakkan aktiviti penangkapan ikan di zon-zon pendaratan penyu seperti Rantau Abang, Ma’ Daerah, Kemaman dan Cherating di Pahang,” katanya selepas melancarkan laman web taman laut, www. marineparksofmalaysia.com di sini semalam.
Laman web inisiatif Yayasan Sime Darby dan badan bukan kerajaan alam sekitar, Fuze Ecoteer itu bukan sahaja mengandungi maklumat 52 taman laut seluruh negara malah menjadi medium orang ramai melaporkan sebarang aktiviti penganiayaan hidupan marin termasuk penyu.
Adnan berkata, kebanyakan bangkai penyu ditemui mati dipercayai akibat tersangkut pada pukat atau terkena kipas bot.

No comments:
Post a Comment