Oleh MOHD. AZLI ADLAN
BESUT – Penemuan bayi lelaki yang dipercayai dibuang di belakang sebuah rumah di Kampung Raja di sini kelmarin membongkar perbuatan sumbang mahram dipercayai melibatkan seorang kakak dengan adik kandung lelakinya yang dibawah umur.
Bayi yang masih hidup itu ditemui salah seorang penghuni rumah terbabit pada pukul 2.54 petang.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Md. Sani Md. Saleh berkata, bayi tersebut kemudiannya diselamatkan sebelum dibawa ke Hospital Besut di sini untuk menerima rawatan.
“Siasatan kemudiannya menahan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang disyaki melahirkan bayi terbabit.
“Adik lelaki remaja perempuan berusia 14 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya di sini semalam.
Md. Sani berkata, siasatan awal tidak menolak kemungkinan bayi tersebut dilahirkan berpunca daripada perbuatan sumbang mahram.
Beliau berkata, bayi lelaki berkenaan dipercayai dibuang sebaik dilahirkan.
“Suspek lelaki telah ditahan reman selama tujuh hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan Seksyen 376B akta sama,”katanya.
“Remaja perempuan terbabit pula kini sedang mendapatkan rawatan di hospital,” katanya.

No comments:
Post a Comment