Oleh MOHD AZLI ADLAN, LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR, AZAHAR HASHIM dan ROHANA MOHD. NAWI
PETALING JAYA – Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 kepada lebih 5.2 juta murid sekolah kerajaan yang akan disalurkan kepada ibu bapa bermula 11 Januari tahun depan disifatkan amat membantu terutama mereka yang mempunyai ramai anak masih bersekolah.
Penyerahan secara tunai di sekolah itu juga mendapat maklum balas positif daripada ibu bapa. Inisiatif kerajaan ini memperuntukkan RM800 juta sebagai bantuan one-off bagi meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan sekolah untuk anak-anak.
Di Ipoh, Perak seorang penjawat awam, Suhaili Abd. Razak, 39, berkata, BAP 2026 yang diberikan sehari sebelum sesi persekolahan bermula akan digunakan untuk membeli buku latihan tambahan atau alat-alat tulis bagi anak-anaknya.
“Saya mempunyai dua anak yang bersekolah, jadi biasanya gaji diterima pada bulan sebelum persekolahan bermula digunakan untuk memenuhi keperluan anak-anak.
“Ada masanya saya terpaksa habiskan ratusan ringgit bagi membeli barangan keperluan seperti pakaian persekolahan anak-anak kerana mereka kini berada dalam fasa membesar dengan cepat,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Di Alor Setar, Kedah pula, seorang ibu, Robiatul Adawiyah Abdullah, 34, berkata, bantuan berkenaan sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan ibu bapa dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak.
Katanya, dia mempunyai empat anak dan tiga daripada mereka masih bersekolah rendah.
“Saya berharap bantuan ini dapat diteruskan pada masa akan datang. “BAP ini amat baik terutama bagi ibu bapa yang mempunyai ramai anak seperti saya. Ia sangat membantu dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak untuk sesi baharu nanti,” katanya.
Menurutnya, dia masih belum membuat sebarang persiapan dan bercadang menunggu bantuan itu disalurkan.
Di Kota Bharu, Kelantan, Nik Shariza Nik Abdullah, 43, memberitahu, dia sudah membeli beberapa kelengkapan sekolah anak-anaknya dan duit BAP itu nanti akan digunakan bagi membeli buku-buku sekolah dan tambahan alat tulis untuk mereka
“Perbelanjaan banyak tertumpu kepada anak sulung kerana dia bakal memasuki sekolah menengah tahun depan,” katanya.
Di Kuala Terengganu, Terengganu, seorang penjawat awam berkata, dia akan mengambil cuti ketika serahan tunai BAP di sekolah.
“Serahan BAP secara tunai lebih mudah tanpa kami perlu membuang masa ke bank selain boleh bertemu guru anak-anak dan bincangkan hal pelajaran,” katanya.
Siti Jamilah Jamil, 42, pula mengakui kos persekolahan empat anaknya yang berada dalam darjah satu hingga tingkatan empat pada tahun depan agak tinggi.
Katanya, inisiatif kerajaan menerusi pemberian BAP tersebut amat melegakan dia dan suami.
“Kami sudah merancang bajet berhemat memandangkan bulan Ramadan bakal tiba kira-kira sebulan selepas sekolah kembali dibuka dan ketika itu banyak benda kena beli,” katanya.

No comments:
Post a Comment