KUALA TERENGGANU – Hajat seorang pegawai tadbir untuk meraih keuntungan berganda daripada skim pelaburan matawang asing atau ‘forex’ bukan sahaja tidak kesampaian, malah kerugian RM11,717.
Lelaki berusia 58 tahun yang menyedari tertipu tersebut telah membuat laporan berhubung kes tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 12.08 tengah hari, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, lelaki tersebut tertarik dengan iklan skim pelaburan ‘forex’ berkenaan yang dilihatnya di laman Facebook pada 10 Disember lalu.
“Mangsa kemudiannya berhubung dengan individu didakwa penganjur skim pelaburan forex berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp.
“Dia telah dijanjikan kononnya keuntungan hampir empat kali ganda dengan cuma bermodalkan RM300,” katanya di sini semalam.
Azli berkata, pegawai tadbir tersebut semakin teruja apabila ‘memperolehi keuntungan RM11,000 dalam tempoh cuma dua jam.
Beliau berkata, lelaki berkenaan turut mengikut arahan membuat pembayaran tambahan kononnya bagi pengeluaran keuntungan berkenaan.
“Pembayaran itu dilakukan mangsa menerusi transaksi ke dalam tiga akaun bank diberi suspek antara 11 Disember hingga 15 Disember lalu.
“Begitupun dia akhirnya menyedari tertipu tidak memperolehi apa-apa pulangan dijanjikan,” katanya.
Azli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

No comments:
Post a Comment