BESUT – Tiga lukisan tentang bas, jalan raya dan tulisan kreatif berkaitan kematian peninggalan Muhammad Mustaqim Rosde, 21, seolah-olah gambaran nahas yang mengorbankan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu dan 14 rakan sekampus lain di Gerik, Perak pada minggu lalu.
Ibunya, Juariah Abdul Rahman, 48, berkata, dia dan suami, Rosde Yaakub, 58, terkejut menemukan tiga lukisan terbabit di dalam bilik tidur arwah anaknya beberapa hari lalu.
“Tiga lukisan itu merupakan sebahagian daripada lebih 100 koleksi arwah yang tersimpan rapi dalam fail di bilik tidurnya.
“Di belek betul-betul, lukisan sebuah bas dan pemandangan jalan raya berlatar belakang hutan dan besi penghadang jalan itu seakan-akan gambaran kemalangan yang meragut nyawa dia dan rakan-rakannya pada 9 Jun lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Telaga Nibung, Hulu Besut di sini semalam.
Terdahulu, dia dan suami disantuni Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. Juariah berkata, satu lagi lukisan tulisan kreatif, berkaitan mati yang ditinggal arwah Muhammad Mustaqim membuatnya sebak.
Katanya, walaupun kaitan lukisan tersebut dan tragedi hanya kebetulan, ia khazanah berharga peninggalan arwah anaknya yang perlu dijaga rapi sebagai kenangan berharga.
“Kami memang tahu arwah (Muhammad Mustaqim) gemar melukis, tetapi tidak sangka dia simpan koleksi lebih 100 lukisan di dalam bilik tidurnya.
“Semuanya diketahui apabila saya dan suami mengemas bilik tidurnya beberapa hari selepas jenazah anak kami itu selamat dikebumikan,” katanya.
Sementara itu, Rosde berkata, beberapa individu telah menyatakan minat untuk membeli lukisan peninggalan Muhammad Mustaqim sejak beberapa hari lalu.
Begitupun, dia dan isteri keberatan untuk menjual kenangan berharga peninggalan anak lelakinya tersebut.
“Biarlah lukisan-lukisan itu kekal tersimpan dalam fail di dalam bilik tidurnya.
“Dia (Muhammad Mustaqim) memang gemar melukis sejak kecil dan bercita-cita menjadi guru Pendidikan Seni selepas tamat pengajian di UPSI tetapi hasratnya tidak kesampaian,” katanya.

No comments:
Post a Comment