Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Dua pelajar tingkatan tiga Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Besut ditahan reman selama tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan membuli dua rakan sekolah mereka Selasa lalu.
Perintah reman terhadap remaja lelaki berusia 15 tahun terbabit dibenarkan oleh Majistret Yuhanis Mohd. Roslan di Mahkamah Majistret di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, kedua-dua pelajar turut disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaaan.
Setakat ini, seramai tujuh pelajar MRSM berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan kes buli membabitkan dua mangsa di asrama institusi pendidikan tersebut pada Selasa lalu.
“Ia termasuk lima pelajar berusia dalam lingkungan 15 hingga 17 tahun yang telah menerima perintah reman selama tiga hari di mahkamah sama semalam (kelmarin),” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan seorang pelajar tingkatan dua MRSM Besut mendakwa mengalami kesakitan pada bahagian perut dan rusuk serta belakang badannya lebam akibat ditumbuk dan ditampar oleh suspek-suspek.
Mangsa turut mendakwa dipaksa duduk separa mencangkung sambil kepalanya diletakkan selipar selama kira-kira 40 minit.
Seorang lagi pelajar tingkatan dua MRSM sama kemudiannya mendakwa turut dibuli pelajar senior sama sehingga mengalami kesakitan pada kedua-dua belah kaki.
Ia membawa kepada penahanan dua lagi suspek pada pukul 4 petang kelmarin.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kesemua pelajar MRSM yang terlibat dalam kes membuli berkenaan telah dikenakan tindakan buang serta-merta.

No comments:
Post a Comment