Translate

Thursday, December 25, 2025

Banjir dua negeri makin pulih

 KUANTAN – Banjir di negeri ini semakin reda apabila jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) menurun kepada 4,971 orang berbanding 9,596 mangsa yang direkodkan semalam. 

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Che Adam A. Rahman berkata, Kuantan masih merekodkan jumlah tertinggi apabila merekodkan 4,221 mangsa diikuti Pekan seramai 460 mangsa.

 “Jerantut merekodkan seramai 86 mangsa, Bera (68), Rompin (42), Temerloh (59) dan Maran seramai 35 mangsa. 

“Kesemua mangsa ditempatkan di 40 PPS di daerah terbabit,” katanya di sini semalam. 

Menurutnya, pada masa ini terdapat lima batang sungai berada pada paras bahaya iaitu Sungai Keratong di Rompin, Sungai Pahang di Bera, Sungai Pahang di Maran, Sungai Luit di Maran dan Sungai Pahang di Pekan. 

Katanya, lima sungai pula berada pada paras amaran iaitu Sungai Chereh di Kuantan, Sungai Soi di Kuantan, Sungai Pahang di Temerloh, Sungai Pahang di Kuala Krau dan Sungai Pahang di Maran.

 Manakala banjir di Terengganu, hanya Kemaman menjadi satu-satunya daerah masih terjejas.

 Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) berkata, seramai 921 orang daripada 246 keluarga di tiga PPS.

 “PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok mempunyai 380 mangsa daripada 104 keluarga. “Seramai 301 mangsa daripada 82 keluarga berada di SK Chukai,” katanya di sini semalam. 

Jurucakap Sekretariat JPBNT berkata, PPS SK Binjai pula masih mempunyai 240 orang daripada 60 keluarga. 

Sementara itu, Dungun pula sudah pulih dengan 251 mangsa daripada 71 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada pukul 4 petang kelmarin.

No comments:

Post a Comment