BESUT – Seorang ibu tunggal kerugian sebanyak RM52,000 selepas diperdaya kenalan lelaki yang mengajaknya menyertai perniagaan homeopati yang sebenarnya tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, wanita berusia 43 tahun itu mendakwa berkenalan dengan suspek menerusi aplikasi MiChat pada Mac tahun lalu.
“Siasatan awal mendapati wanita itu ditawarkan untuk menyertai perniagaan berkaitan ubat homeopati. “Mangsa yang tertarik dengan perniagaan itu kemudian mengeluarkan modal awal berjumlah RM45,000 bagi pembelian mesin penghasilan produk pada 31 Mac dan 4 April 2024,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Azamuddin berkata, mangsa sekali lagi menyerahkan wang sebanyak RM7,000 kepada suspek kononnya untuk membeli barangan dan kos promosi pada 13 Jun tahun sama.
Menurut beliau, pada 26 Ogos tahun lalu, suspek mula memberikan pelbagai alasan dan mendakwa perniagaan ubat homeopati itu menghadapi masalah.
“Biarpun mangsa mendesak suspek supaya mengemukakan bukti transaksi perniagaan seperti resit pembayaran, suspek tetap memberikan pelbagai alasan.
“Mangsa yang hilang sabar kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di sini pada kelmarin (Isnin),” katanya.
Susulan kejadian itu, suspek yang berusia 40 tahun ditahan di sebuah rumah di Machang, Kelantan pada pukul 3.20 petang kelmarin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 kanun keseksaan.
No comments:
Post a Comment