Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Seramai lima pelajar sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Besut ditahan reman selama tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan kes membuli rakan sekolah mereka sehingga cedera pada Selasa lalu.
Perintah reman terhadap semua remaja lelaki berusia dalam lingkungan 15 hingga 17 tahun tersebut dibenarkan Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah, Yuhanis Mohd. Roslan di Mahkamah Majistret, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad@Abu berkata, kesemua suspek disyaki membuli seorang pelajar lelaki tingkatan dua di asrama MRSM berkenaan pada Selasa lalu.
Beliau berkata, siasatan awamendapati mangsa berusia 14 tahun terbabit mendakwa dipaksa duduk separa mencangkung sambil kepalanya diletakkan selipar selama kira-kira 40 minit pada pukul 11.30 malam, hari kejadian.
“Remaja lelaki berkenaan juga mendakwa ditumbuk pada bahagian perut selain ditampar di mukanya. “Ia menyebabkan mangsa mengalami kesakitan pada bahagian perut dan rusuk serta belakang badannya lebam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Azamuddin berkata, kesemua suspek ditahan berikutan laporan polis dibuat mangsa pada pukul 6.48 petang kelmarin.
Beliau berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Difahamkan kejadian buli itu telah dileraikan seorang warden asrama bertugas sebelum membawa mangsa dan kesemua suspek ke pejabatnya.
Ibu bapa mangsa yang dihubungi kemudiannya telah membawa anak mereka ke sebuah hospital berhampiran untuk rawatan.

No comments:
Post a Comment