Translate

Wednesday, December 24, 2025

Terengganu kembali dilanda bah, lebih 300 mangsa dipindah

KUALA TERENGGANU – Terengganu kembali dilanda banjir dengan Hulu Terengganu menjadi daerah pertama yang terjejas kelmarin. 

Sebanyak lima pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah itu sebelum banjir merebak ke daerah Kemaman semalam. Seramai 326 mangsa daripada 101 keluarga berlindung di lapan PPS di dua daerah tersebut setakat petang semalam. 

Mengikut pecahan, Hulu Terengganu merekodkan seramai 274 mangsa daripada 87 keluarga. Seramai 52 mangsa daripada 14 keluarga pula ditempatkan di tiga PPS di Kemaman.

 Di Hulu Terengganu, seramai 48 pelajar Madrasah Addinniah Azzakiah terpaksa berlindung di dewan makan dua tingkat yang masih belum siap sepenuhnya selepas pusat pengajian mereka ditenggelami banjir sedalam lebih satu meter. 

Kawasan madrasah itu mula dinaiki air limpahan Sungai Peneh pada pukul 1 tengah hari. Pengasasnya, Zaki Masur berkata, paras Sungai Peneh naik dengan cepat berikutan hujan lebat berterusan sejak malam Sabtu lalu. 

Pihaknya segera memindahkan kesemua pelajar yang berada di pondok penginapan dengan menggunakan bot gentian kaca.

 “Dewan makan itu baru 80 peratus siap, namun sesuai dijadikan PPS,” katanya. Jelasnya, pengurusan madrasah itu atau lebih dikenali dengan Pondok Lubok Periok membuat persiapan awal dengan menyimpan bekalan makanan di dewan makan tersebut dan ia mencukupi untuk keperluan 49 pelajar hingga banjir surut. 

Sementara itu, seorang pelajar, Shareef Sirrajudddin Nursirajudin, 15, berkata, dewan makan tersebut umpama mini PPS yang agak selesa buat mereka sepanjang tempoh bencana tersebut.

 “Biarpun sesi pembelajaran ditangguhkan sementara, kami tetap melakukan aktiviti harian seperti biasa di dewan makan ini. Biasanya banjir di kawasan ini tidak lama dan akan cepat surut,” katanya.

No comments:

Post a Comment