Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
BESUT – Keluarga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berharap laporan awal nahas bas yang dikeluarkan Sabtu lalu dapat menjadi asas kuat dalam memberi pembelaan buat ahli keluarga mereka yang terkorban pada 9 Jun lalu.
Ibu Allahyarham Muhammad Adib Hazim Halim, Ruslinan Abd. Razak, 55, berkata, laporan awal menunjukkan sistem mekanikal iaitu brek dan tayar berada dalam keadaan baik berlawanan dengan dakwaan pemandu bas tersebut.
“Sebelum ini, kemalangan didakwa disebabkan oleh kegagalan brek, tetapi laporan awal pula sebaliknya.
“Memang saya dan keluarga reda dengan ketentuan Ilahi, tetapi pada masa sama mahu keadilan untuk arwah anak dan rakan-rakan yang turut terkorban serta cedera dapat ditegakkan,” kata nya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Ruslinan mendakwa, berdasarkan rakaman kamera papan pemuka kenderaan lain, bas membawa anaknya dan 41 rakan sekuliah lain dipercayai dipandu laju sebelum kemalangan berlaku.
Dia berkata, hukuman sewajarnya diambil sebagai pengajaran sekiranya terbukti kemalangan meragut nyawa anak lelakinya dan 14 rakan lain disebabkan kecuaian.
Sementara itu, Ahmad Azizul Maslan, 26, abang kepada Nor Ayuni Maslan yang turut terkorban dalam nahas pukul 12.45 tengah malam itu berharap laporan awal dikemukakan dapat menjadi asas pihak pendakwaan bagi membuktikan kesalahan pemandu bas terlibat di muka pengadilan.
“Keluarga saya tidak pernah menaruh dendam terhadap pemandu malah telah memaafkan dia, tetapi setiap kesalahan perlu dihukum secara undangundang.
“Moga ia jadi pengajaran dan pengingatan buat orang ramai biarpun nyawa adik (Nor Ayuni) dan rakan-rakannya tidak mungkin dapat diganti,” katanya.
Kosmo! Ahad lalu melaporkan, laporan awal siasatan nahas bas mengorbankan 15 pelajar UPSI di Gerik, Perak mendapati tiada bukti menunjukkan kemalangan itu berlaku disebabkan kegagalan sistem mekanikal seperti brek dan tayar.
Menteri Pengangkutan, Athony Loke dilaporkan berkata, penemuan awal Puspakom mendapati keadaan fizikal brek bagi semua gandar bas terbabit dalam keadaan memuaskan.
Terdahulu, pemandu bas, Mohd. Amirul Fadhil Zulkifle, 39, didakwa atas 16 pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian 15 penuntut dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain di Mahkamah Majistret Gerik, Perak pada Jumaat lalu.

No comments:
Post a Comment