Oleh MOHD AZLI ADLAN
BESUT – Pemandu bot yang terlibat dalam insiden bot terbalik sehingga mengorbankan tiga pelancong di Pulau Perhentian dekat sini Sabtu lalu mengaku bersalah menyalah guna dadah di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, Azrie Yazid, 22, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan selesai dibacakan di hadapan Majistret Nurliyana Md. Zukri.
Berdasarkan pertuduhan, Azrie didakwa memasukkan dalam dadah jenis Nimetazepam ke dalam badannya.
Dia didakwa berbuat demikian di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di sini pada pukul 10.05 pagi, 29 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1957 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan Azrie dibebaskan dengan wang jaminan RM2,500 dan seorang penjamin.
Sebutan semula kes pada 4 September depan bagi menunggu laporan patologi ditetapkan
Isnin lalu, Kosmo! melaporkan bot dipandu suspek yang membawa 15 penumpang berusia antara tiga hingga 40 tahun terbalik akibat dipukul ombak besar berhampiran Pulau Perhentian Besar, dekat sini.
Kejadian pada pukul 10.30 malam itu mengorbankan S. Arumugam, 40, dan anaknya, A. Sarvihka,3, dan V.R. Vennpani, 10, manakala seorang kanak-kanak masih berada dalam keadaan kritikal.
Sewaktu kejadian, kesemua pelancong terbabit dalam perjalanan pulang ke resort penginapan selepas menyaksikan pertunjukan api di Long Beach, Pulau Perhentian Kecil.

No comments:
Post a Comment