Oleh MOHD AZLI ADLAN
KEMAMAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya melumpuhkan aktiviti pengedaran dadah dan air ketum yang berselindung di sebalik jeti nelayan di daerah ini.
Serbuan pada pukul 4.30 pagi, 23 September lalu itu berjaya merampas 105 liter air ketum dan dadah iaitu heroin, ekstasi, pil kuda dan syabu dengan nilai keseluruhan RM139,130.
Pengarah Kastam Terengganu, Hasbollah Din berkata, jeti nelayan haram tersebut diserbu selepas risikan mendapati ia menjadi lokasi penyimpanan dua barang terlarang tersebut.
“Pemeriksaan menjumpai dadah yang disorokkan dalam tong ikan di dalam bilik di jeti nelayan berkenaan. Dadah dirampas ialah 190 gram heroin, 1,200 biji pil kuda, 2,099 biji pil ekstasi dan 128 gram syabu,” katanya di sini hari ini.
Hasbollah berkata, siasatan kes diteruskan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

No comments:
Post a Comment