Oleh MOHD AZLI ADLAN
BESUT – Orang ramai yang menziarahi rumah dan kubur Allahyarham Nurly Sahirah Azman dinasihatkan agar menjaga sensitiviti keluarga dan menghindari perbuatan khurafat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, mereka diharap tidak terlalu teruja sehingga melakukan perbuatan bertentangan dengan syariat.
“Minta sangat masyarakat jaga adab. Kita semua sayang Nurly, buat perkara-perkara disuruh agama dan doakan keampunan dosanya.
“Ambil ibrah (pengajaran) ziarah kubur orang yang Allah beri kelebihan ini, bukan ambil tanah kuburnya bawa balik rumah,” katanya ketika menyantuni keluarga Nurly Shahirah di Kampung Gong Pasir di sini semalam.
Beliau menyantuni sebahagian keluarga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dan cedera dalam nahas bas persiaran di Gerik, Perak pada 9 Jun lalu menerusi program Ziarah Madani Peduli.
Mohd. Na’im berkata, ibubapa Nurly iaitu Azman Mohamed, 63, dan Kamariah Abdul Latif, 60, pastinya kurang selesa dan bersedih sekiranya perkara khurafat melibatkan anak bongsu mereka berterusan selepas ini.
Beliau berkata, kedua-dua orang tua pelajar UPSI terbabit tidak mahu kebaikan dilakukan anak perempuan mereka sepanjang hayatnya tercalar ekoran perbuatan khurafat segelintir individu berkenaan.
"Hati mereka pasti terganggu mengenangkan seolah-olah arwah anak mereka pula penyebab pengunjung membuat perkara-perkara khurafat," katanya.
Sementara itu, Kamariah berkata , dia dan suaminya menerima dengan tangan terbuka sesiapa yang mahu menyantuni mereka dan menziarah kubur Nurly mulai hari ini.
"Kita meraikan semua tetami kerana menganggap mereka dijemput oleh Allah cuma harap tidak berlaku lagi perbuatan khurafat.
"Kalau boleh datanglah ikut masa ditetapkan 9 pagi hingga 6 petang, tidak seperti sebelum ini, masa maghrib masih ramai datang," katanya.
Isnin lalu, Kosmo! melaporkan keluarga Nurly memutuskan untuk tidak menerima tetamu selama empat hari sehingga hari ini berikutan dakwaan berlakunya perbuatan khurafat mengambil tanah kubur gadis tersebut.
Pada Selasa llau, Kosmo! turut melaporkan, pengamal perubatan alternatif mendakwa, tanah kubur Nurly mungkin digunakan untuk menghasilkan azimat sihir penunduk dan bagi tujuan memikat.

No comments:
Post a Comment