KUALA TERENGGANU – Dua lagi penduduk Terengganu menjadi mangsa penipuan skim cabutan bertuah bank palsu semalam melibatkan kerugian RM19,599.
Setakat ini, sindiket penipuan yang menggunakan modus operandi sama berjaya memerangkap 12 mangsa di negeri ini dengan kerugian keseluruhan berjumlah RM259,103.57 sejak awal tahun ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, kesemua mangsa kehilangan wang dalam akaun simpanan mereka setelah menekan pautan kononnya peraduan cabutan bertuah anjuran sebuah bank tempatan terbabit.
“Kejadian terbaharu berlaku semalam melibatkan seorang peniaga lelaki dan guru wanita masing-masing berusia 52 tahun.
“Mereka masing-masing kerugian RM14, 110 dan RM5,499 akibat diperdaya sindiket penipuan terbabit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, mangsa pertama yang merupakan peniaga lelaki telah menekan pautan peraduan cabutan bertuah kononnya anjuran sebuah bank tempatan dalam laman Facebook di rumahnya di Pengadang Baru di sini pukul 7.15 pagi semalam.
Beliau berkata, mangsa menerima notifikasi pengeluaran wang simpanannya di tiga akaun bank tersebut tanpa pengetahuannya beberapa minit kemudian.
Azli berkata, mangsa kedua pula hanya menyedari wang simpanannya telah lesap apabila membuat semakan di cawangan bank tersebut di Dataran Austin, Kuala Nerus setelah pengeluaran wang dalam talian menerusi aplikasi di telefon bimbitnya tidak dapat digunakan sejak kelmarin.
Beliau berkata, sebelum itu, pengeluaran wang dalam talian menerusi aplikasi di telefon bimbit guru wanita terbabti tidak dapat digunakan sejak Sabtu lalu.
"Semakan mendapati wang simpananannya berjumlah RM5,499 di dua akaun bank tersebut telah dkeluarkan tanpa pengetahuannya pada 30 Mei lalu.
"Mangsa percaya dia juga menjadi mangsa sindiket penipuan setelah menekan pautan sama di laman Facebook," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
No comments:
Post a Comment