Oleh MOHD. AZLI ADLAN
BESUT – Salah seorang mangsa kemalangan bas persiaran yang terselamat dalam nahas yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pengajian Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak masih trauma walaupun kejadian tersebut sudah 10 hari berlalu.
Nur Ain Najwa Mohd. Ilias, 23, memberitahu, dia berasa sesak dada setiap kali mendengar bunyi enjin bas bergerak terutama dari arah jalan raya yang terletak kira-kira 100 meter dari kediamannya.
Katanya, dia juga kerap sebak apabila terkenang 15 rakan sekampusnya yang terkorban dalam tragedi tersebut.
“Kejadian itu masih menghantui saya. Lihat gambar dan video bas dalam telefon bimbit pun boleh membuatkan saya tidak keruan dan menangis tiba-tiba.
“Setiap rasa trauma itu timbul, dia akan cepat-cepat beristighfar dan berselawat bagi meredakan emosi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Kemuntong, Jerteh di sini semalam.
Terdahulu, pelajar yang patah tangan kiri akibat kemalangan tersebut menerima kunjungan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad.
Pada 9 Jun lalu, sebuah bas persiaran membawa 42 pelajar UPSI terbabas sebelum melanggar kenderaan pelbagai guna jenis Perodua Alza yang dinaiki empat beranak di selekoh Kilometer 53, Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli.
Seramai 13 mangsa maut di lokasi kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia di hospital.
Pelajar tahun dua Sarjana Muda Bahasa Arab dengan Pendidikan itu juga mengikuti saranan kaunselor Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mengalihkan perasaan trauma terbabit dengan melakukan aktiviti kegemaran.
“Setiap kali rasa sakit pada bahu yang patah, saya rasa sebak mengenangkan mesti 15 rakan-rakan terkorban yang sudah tentu mengalami kesakitan lebih teruk.
“Saya masih terkenang senyuman manis Anis Soraya Md. Zaidi, 20, yang turut terkorban sewaktu kami sama-sama naik bas. Dia duduk berdekatan dengan saya di dalam bas sewaktu kejadian,” kata anak kedua daripada enam beradik itu.
Nur Ain Najwa berkata, dia yang demam pada hari kejadian sedang tidur di tempat duduk dan hanya tersedar apabila bas terlibat sudah tercampak ke dalam longkang di lokasi kejadian.
“Buat masa ini, walaupun masih dalam proses pemulihan di rumah, saya tetap mengikut beberapa kelas secara dalam talian.
“Saya juga bersyukur di sebalik ujian ini, dua adik kembar saya, Hassan dan Hussin berusia 22 tahun yang sebelum ini menolak peluang belajar ke universiti untuk memberi laluan kepada saya mendapat perhatian Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki,” katanya.
Sementara itu, Noraini memberitahu sebahagian besar mangsa yang terselamat masih trauma dengan kejadian tersebut dan takut untuk menaiki kenderaan terutamanya bas.
“Ada juga ahli keluarga yang trauma bila hendak naik kenderaan. Seramai 20 kaunselor JKM akan memberi fokus untuk menceriakan semula mangsa dan ahli keluarga terjejas agar mereka dapat pulih menjalani kehidupan seharian seperti biasa,” katanya.
Menurut Noraini, JKM sedang mengenal pasti mangsa yang berkemungkinan mengalami kecacatan kekal berikutan nahas terbabit.

No comments:
Post a Comment