Translate

Monday, December 29, 2025

Pegawai bank kempunan beli Toyota Hilux, RM241,700 lesap

 KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang pegawai bank untuk membeli sebuah kenderaan pikap Toyota Hilux terpakai tidak kesampaian malah kerugian RM241,700 akibat terperdaya dengan urusan penjualan dalam talian yang tidak wujud. 

Lelaki berusia 52 tahun berasal dari Durian Burung, di sini yang menyedari tertipu itu telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 9.37 pagi, kelmarin. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, pegawai bank tersebut tertarik dengan iklan sebuah syarikat menjual kenderaan terpakai yang dilihatnya di laman Facebook pada 12.30 tengah hari, 4 Julai lalu.

 “Mangsa yang berminat untuk membeli sebuah kenderaan pikap jenis Toyota Hilux 2.4 Auto keluaran 2017 telah menekan pautan diberikan. 

“Dia kemudian berhubung wakil syarikat tersebut yang kononnya berpengkalan di Pelabuhan Klang, Selangor,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam. 

Azli berkata, lelaki itu menyerahkan salinan kad pengenalan kepada suspek bagi urusan pembelian kenderaan terpakai tersebut. 

Beliau berkata, pegawai bank tersebut membuat pembayaran keseluruhan RM241,700 secara berperingkat antara 9 hingga 21 Julai lalu.

 “Pembayaran dilakukan mangsa menerusi 40 transaksi ke dalam 18 akaun bank berasingan.

 “Begitupun, dia mula curiga apabila diminta membuat pembayaran tambahan sebanyak RM31,000 kononnya untuk urusan dokumentasi dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia,” katanya. 

Azli berkata, pegawai bank yang kerugian simpanan peribadi dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya itu masih belum memperoleh kenderaan Toyota Hilux dijanjikan sehingga sekarang. 

Beliau berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan

No comments:

Post a Comment