Translate

Tuesday, December 30, 2025

Banjir merebak ke Dungun selepas ‘badai’ Kemaman

KUALA TERENGGANU – Banjir yang menjejaskan Kemaman sebelum ini telah merebak ke daerah bersebelahan, Dungun dengan mangsa keseluruhan melonjak kepada 902 mangsa daripada 248 keluarga yang berlindung di 15 pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua daerah tersebut sehingga pukul 5 petang semalam. 

Selain itu, Hulu Terengganu menjadi daerah terkini yang turut terjejas banjir dengan lima mangsa daripada satu keluarga ditempatkan di PPS. 

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) berkata, Kemaman kekal daerah paling terjejas melibatkan 637 mangsa daripada 171 keluarga. 

“Mereka berada di sembilan PPS iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Air Putih, Dewan Sivik Air Putih dan Dewan Sivik Felda Seberang Tayor.

 “Selain itu PPS juga dibuka di Dewan Orang Ramai Batu 14, Dewan Ketengah Dadong, Masjid Kampung Batu 16 Tebak dan Dewan Semai Bakti Felda Neram 2,” katanya di sini semalam. 

Dalam pada itu, di Hulu Terengganu, penduduk Kampung Pengkalan Ajal mengambil inisiatif menubuhkan Skuad Sukarelawan Banjir (SSB) bagi membantu penduduk sewaktu banjir musim tenkujuh. 

Ketua SSB, Alias Abdullah, 56, berkata, skuad yang dianggotai 60 sukarelawan tersebut berperanan membantu penduduk setempat berpindah dengan selamat ke PPS berhampiran. 

“Kita menggunakan 22 bot gentian kaca milik sukarelawan itu sendiri bagi memastikan proses pemindahan mangsa banjir dapat dilakukan secara selamat, tersusun dan pantas. 

“Sukarelawan SSB juga berperanan memantau rumah-rumah penduduk yang ditinggalkan sewaktu mereka berada di PPS,” katanya di Kampung Pengkalan Ajal di sini semalam. 

Alias berkata, sukarelawan SSB dibahagikan kepada lima zon bagi melancarkan lagi operasi menyelamat. 

Beliau berkata, setiap bot hanya dibenarkan membawa tiga penumpang termasuk seorang pemandu bagi mengelakkan insiden tidak diingini. 

“SSB juga akan menyalurkan maklumat awal amaran banjir kepada penduduk kampung.

 “Kebiasaannya sekiranya perkampungan di kawasan hulu seperti Kampung Lubok Perik dan Kampung Peneh dilanda banjir, perkampungan kami akan menyusul kemudian,” katanya

No comments:

Post a Comment