KUALA NERUS – Seorang pekerja sebuah syarikat bas ekspres maut selepas kereta yang dinaiki bersama rakan sekerja merempuh sebatang pokok berhampiran Balai Polis Gong Badak di sini semalam.
Nahas pada pukul 6.10 pagi itu meragut nyawa Ahmad Zabani, 25, yang merupakan pegawai operasi syarikat tersebut.
Seorang lagi mangsa, Azizi Kamarudin, 38, yang bekerja sebagai mekanik di syarikat sama dilaporkan cedera parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, ketika kejadian, mereka dipercayai dalam perjalanan ke pusat pelepasan utama bas ekspres tersebut di Gong Badak di sini.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta syarikat jenis Proton Persona yang dinaiki kedua-dua mangsa dikatakan hilang kawalan secara tiba-tiba.
“Kenderaan itu kemudian terbabas ke bahu jalan sebelum merempuh sebatang pokok yang berada di tepi jalan tersebut,” katanya di sini semalam.
Pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian tersebut mengesahkan Ahmad sudah meninggal dunia. “Seorang lagi mangsa yang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Unit Kecemasan, Hospital Sultan Zainal Abidin di sini untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

No comments:
Post a Comment