Translate

Wednesday, December 24, 2025

Hanya barang pulang, tuannya telah tiada

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Ibu bapa Nur Dalila Farhana Mohamad Isma yang terkorban dalam nahas melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tidak dapat menahan sebak menerima barang peribadi Allahyarham yang tiba hari ini.

Mohamad Isma Abdul Manaf, 47, yang merupakan pesara tentera dan isterinya, Norinda Kasim, 49, tidak dapat menahan air mata sewaktu membuka beg dan kotak mengandungi barangan peribadi anak sulungnya.

Norinda berkata, hatinya luluh sebaik menatap sehelai baju blouse Nur Dalila Farhana yang sedondon dengannya.

“Baju blouse itu dipegang dan dicium, masih kuat bau badan dia (Nur Dalila Farhana). Kami beli bersama-sama lebih lima tahun lalu.

“Sayu sebab hanya barang-barang yang pulang, orangnya sudah tiada,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Tok Dor di sini hari ini.

Terdahulu Mohamad Isma mengambil barangan peribadi anaknya yang dihantar konvoi UPSI di pekarangan Masjid Hadhari, Jerteh di sini semalam.

Norinda berkata, Nur Dalila Farhana, 21, sebagai anak sulung daripada tiga beradik amat manja dan rapat dengannya.

Suri rumah itu berkata, arwah juga harapan keluarga dan bercita-cita menjadi pendidik. 

Dalam pada itu, suasana pilu menyelubungi pekarangan Masjid Hadhari, Jerteh selepas konvoi membawa barangan peribad 15 pelajar UPSI tiba.

Konvoi melibatkan 11 sukarelawan terdiri daripada kakitangan dan pelajar UPSI diketuai Pengarah Pusat Transformasi Universiti (UCTC) universiti itu, Prof. Dr. Mohd. Azlan Nafiah.

Kata Mohd. Azlan, ruang legar Masjid Hadhari menjadi pusat pengumpulan barangan peribadi mangsa-mangsa sebelum diambil keluarga masing-masing.

"Kesemua barangan peribadi mangsa tersebut terdapat di bilik kolej kediaman mereka," katanya.

Dalam kejadian Isnin lalu, seramai 15 pelajar UPSI maut manakala 27 yang lain cedera setelah bas sewa khas dinaiki mereka dalam perjalanan ke kampus universiti itu di Tanjung Malim, Perak terlibat dala kemalangan di Tasik Banding, Gerik.

No comments:

Post a Comment