Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga, Wan Hasbullah Wan Abdul Halim, 42, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 79, Jalan Kuala Terengganu - Kota Bahru kelmarin dikatakan merancang untuk menziarahi keluarga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris, Allahyarham Nurly Shahirah Azman di Kampung Gong Pasir, Besut.
Bagaimanapun, hasrat murni itu tidak kesampaian apabila motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki Z1000 yang ditungganginya merempuh sebuah kereta yang sedang membelok ke simpang sebelah kanan.
Adik bongsu mangsa, Wan Zainul berkata, sewaktu kejadian, arwah abangnya yang aktif dalam kumpulan permotoran berkuasa tinggi, Alternatif Riding Club (ARC) dalam perjalanan ke Besut untuk menemui ahli ARC.
"Arwah abang merupakan pengerusi ARC Terengganu. Difahamkan dia mahu berjumpa anggota kelab dari Kedah.
"Mereka menginap di Besut untuk menyantuni keluarga pelajar Allahyarham Nurly di Besut," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim di sini kelmarin.
Menurut Wan Zahid, arwah abangnya juga ada merancang untuk mengadakan majlis kesyukuran sempena perkahwinan kali kedua baru-baru ini.
"Abang baharu sahaja melangsungka perkahwinan dengan pasangannya minggu lalu.
"Arwah ada bercadang untuk mengadakan kenduri kesyukuran perkahwinan pada bulan September depan.
"Begitupun arwah belum menetapkan tarikh," katanya.
Terdahulu, jenazah Wan Hasbullah selamat dikebumikan dengan disaksikan lebih 2,000 ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan pada pukul 10 malam.
Hadi sama tiga anak arwah daripada perkahwinan terdahulu iaitu Wan Faqeh Hamdi, 9, Wan Fawas Syakir, 11, dan Wan Faishol Hokam, 13.
Begitupun, isteri baharunya, Wan Nazirah Wan Fauzi tidak kelihatan di tanah perkuburan.
Kosmo! semalam melaporkan seorang peniaga yang baru empat hari bernikah maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangi terlibat dalam kemalangan di KM 79, Jalan Kuala Terengganu - Kota Bahru berhampiran Kampung Guntung, Setiu.

No comments:
Post a Comment